Mudahnya jual haiwan

No Image Caption
A
A
A

Mudah, memang mudah. Bekalan hidupan eksotik, dilindungi sentiasa dijamin ada oleh penjual kepada pembeli.

Menggunakan media sosial seperti Facebook, penjual tidak takut mempromosikan pelbagai spesies seperti helang, burung hantu, anak lutong dan lain-lain lagi haiwan eksotik dan dilindungi ini kepada warga internet.

Wartawan Sinar Siasat misalnya, menyamar sebagai pembeli selepas melihat satu iklan penjualan anak burung hantu (baby barn owl) di laman sosial atas nama pemilik FB Andit (bukan nama sebenar) bertarikh 25 Disember 2018. Wartawan Sinar Siasat menghubungi penjual berkenaan untuk bertanyakan sama ada haiwan itu masih ada untuk dijual.

Pengendali akaun tersebut memberitahu stok anak burung hantu dijualnya masih ada walaupun sudah hampir sebulan iklan itu di laman sosial miliknya.

"Stok ni pre order, macam esok bos nak, hari ini kena buat bayaran dan esok pagi saya keluar pergi cari stok. Pada sebelah petang sekitar jam 6.45 petang saya akan buat penghantaran menggunakan perkhidmatan bas ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS)," beritahu pemilik akaun FB itu.

Penjual berkenaaan menawarkan RM200 kepada Wartawan Sinar Siasat untuk harga anak burung hantu itu termasuk bayaran pos menggunakan khidmat bas.

Wartawan Sinar Siasat kemudian sengaja memancing keyakinan penjual itu dengan meluahkan rasa curiga sekiranya urus niaga itu tidak berhasil atas risiko ketiadaan stok bagi anak burung hantu seperti diiklankan.

"Memang bukan mudah nak cari anak burung hantu, misalnya ada 10 sarang, cuma akan ada satu sarang je yang ada anak. Memang hari-hari saya buat begitu, mencarinya di bendang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Wartawan Sinar Siasat juga mendapati, pengendali sesawang sosial itu mencadangkan supaya haiwan itu cuma dipelihara dalam rumah sahaja berkemungkinan mahu melindungi aktiviti itu daripada pihak berkuasa.

Seorang lagi penjual haiwan eksotik yang ditemui iklannya di laman sosial Facebook turut memberikan tawaran menarik ketika Wartawan Sinar Siasat menyamar sebagai peminat anak lutong (dusky leaf monkey).

"Harga RM650... usia antara tiga dan empat bulan, pembelian dengan percuma baju sehelai," kata pemilik akaun dipercayai seorang wanita itu.

Sekali lagi Wartawan Sinar Siasat memancing keyakinan penjual itu dengan membuat alasan bayaran untuk urusan jual beli anak lutong itu cuma boleh dibuat selepas 'pembeli' terima gaji hujung bulan.

Ternyata penjual itu menyatakan janjinya bahawa stok anak lutong itu sentiasa ada walaupun sehingga hujung bulan.

"Yer memang selalu ada stok... jangan risau ye. Gaji masuk kita deal," katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Wartawan Sinar Siasat.

Penjual berkenaan memberitahu, cara pengiriman anak lutong itu akan guna perkhidmatan bas dari Bentong, Pahang.

No Image Caption

Menerusi tinjauan Wartawan Sinar Siasat, didapati beberapa jenis haiwan dilindungi oleh pihak berkuasa telah dijual secara terbuka di internet kerana permintaan tinggi dan penjual pula boleh mengaut untung kerana harga haiwan ditawarkan memang lumayan.

Dalam pada itu, terdapat syarikat turut membuat tawaran jualan ke atas haiwan yang sudah mendapat lesen peliharaan.

Bahkan ada pihak satu lagi, menawarkan khidmat ejen kepada individu lain yang ingin mencari 'duit kopi' dalam aktiviti menjual haiwan eksotik tetapi dilindungi itu.

Ini antara trend berlaku dalam aktiviti perniagaan atas talian di negara kita, hari ini dan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sedang berusaha memperkasakan penguatkuasaan mereka bagi memburu individu mendalangi penjualan hidupan eksotik secara haram di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Berniaga haiwan eksotik atas talian