Berniaga haiwan eksotik atas talian

Seorang lelaki berusia 32 tahun berjaya ditangkap Perhilitan selepas giat mempromosikan aktiviti menjual hidupan liar di FB sejak 2013
Seorang lelaki berusia 32 tahun berjaya ditangkap Perhilitan selepas giat mempromosikan aktiviti menjual hidupan liar di FB sejak 2013
A
A
A

Mukadimah

Nak burung hantu, nak kongkang, nak lutong. Nak kucing hutan! Tak susah lagi untuk membelinya dengan munculnya kaedah perniagaan atas talian. Trend bisnes atas talian sekarang bukan sekadar kek, biskut, beg atau pakaian tetapi haiwan eksotik pun boleh dibeli secara atas talian sekarang ini. Ikuti pendedahan Wartawan Sinar Siasat minggu ini.

Isu penjualan haiwan eksotik di laman sosial di negara ini semakin membimbangkan.

Pegawai Kanan Jaringan Pemantau Perdagangan Hidupan Liar (TRAFFIC) Asia Tenggara, Elizabeth John berkata, jenayah pemerdagangan hidupan eksotik adalah antara 10 aktiviti jenayah membawa pulangan tinggi di dunia selain dadah, senjata dan manusia.

"Aktiviti pemerdagangan ini bukan hanya berlaku di Facebook tetapi juga secara meluas di dalam internet seperti di aplikasi-aplikasi chat dan laman web e-perdagangan. Saluran media sosial ini sebenarnya membolehkan mereka berselindung dan menyembunyikan maklumat peribadi mereka seperti nama sebenar dan lokasi.

"Ini menjadikan transaksi jual beli berjalan dengan lebih mudah. Selain itu, proses jual beli di alam maya yang tiada hadnya membuka lebih banyak peluang jual beli haiwan eksotik dari pelbagai lokasi sekali gus menambah tekanan terhadap haiwan terancam serta menjadikannya isu ini amat serius," katanya.

ELIZABETH
ELIZABETH

Menurut Elizabeth, berdasarkan kajian pihaknya pada 2014, walaupun bilangan kumpulan Facebook yang dikaji tidak banyak, namun jumlah haiwan eksotik yang diperdagangkan amat tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun kajian ini dilakukan beberapa tahun yang lalu, trend kini lebih membimbangkan, kerana tahap aktiviti jual beli ini melibatkan lebih banyak spesies, kuantiti yang dijual beli, serta lebih ramai orang yang terlibat dalam aktiviti ini.

"Berdasarkan pemerhatian terkini, hidupan eksotik dilindungi (sama ada yang hidup ataupun bahagian badan) masih dijual beli secara bebas. Pemerdagangan ini tidak terhad kepada Facebook, tetapi boleh diperhatikan di sosial media lain serta laman e-perdagangan," katanya.

Kajian TRAFFIC menunjukkan kebanyakan haiwan yang ditawarkan adalah haiwan juvana, untuk dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

"Amat menyedihkan kerana haiwan juvana ini diambil daripada ibu atau keluarganya untuk tujuan perdagangan.

"Kebanyakan daripada 380 ekor haiwan eksotik yang diperdagangkan dalam tempoh tersebut adalah daripada spesies burung (44 peratus)," katanya.

Malah, jelasnya, laporan terbaru oleh TRAFFIC yang mengkaji pemerdagangan memerang (otter) di Asia Tenggara selama lima bulan pada tahun 2017, telah merekod sehingga 1,189 ekor memerang hidup ditawarkan di media sosial.

Katanya, daripada jumlah itu, 18 ekor memerang ditawarkan di media sosial di Malaysia dalam jangka masa tersebut.

Lantaran itu, Elizabeth mengharapkan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 akan dipinda segera untuk melarang penawaran hidupan eksotik terlindung dalam talian.

"Tahap jenayah ini memang membimbangkan, dan amat sukar untuk menangkap pesalah dengan hidupan eksotik yang dimilikinya. Penyiasatan meluas dan mendalam sangat diperlukan. Memandangkan ini melibatkan aktiviti jenayah multimedia, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), polis dan agensi lain harus bekerjasama dengan Jabatan Hidupan Liar agar dalang di sebalik jenayah ini ditangkap.

"TRAFFIC juga sedang bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Facebook, di peringkat antarabangsa, untuk cari jalan atasi gejala pemerdagangan hidupan eksotik dalam talian," katanya.