Ewon pastikan agenda pembangunan PIPK berjaya

Ewon Benedick
Ewon Benedick
A
A
A

KOTA BELUD - Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick akan memastikan agenda pembangunan yang terkandung dalam Pelan Induk Pembangunan Kadamaian (PIPK) 2020-2035 dapat dijayakan.

Ewon yang juga penyandang kerusi itu akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah mewakili parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, pelan itu merangkumi pelbagai aspek termasuk pembangunan infrastruktur, ekonomi, sosial, budaya dan alam sekitar.

“Dalam tempoh dua tahun, saya berusaha sebaik mungkin dalam melaksanakan tanggungjawab dan saya sentiasa bersedia untuk meneruskan tanggungjawab bagi penggal seterusnya.

“Pada kali ini, saya akan laksanakan tanggungjawab berasaskan kepada satu manifesto sahaja iaitu menjayakan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian, 2020-2035,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, Kadamaian akan dibangunkan berasaskan kepada dua sektor ekonomi utama iaitu pelancongan dan pertanian melalui jaringan kemudahan infrastruktur asas dan pembangunan keusahawanan desa.

"Pelan ini menjadi sebahagian daripada dokumen rasmi Kerajaan Negeri Sabah dan menjadi input utama Kadamaian untuk ancangan pembangunan negeri dan negara.

“Selaku Wakil Rakyat, tanggungjawab saya yang seterusnya adalah memastikan pelan ini dicakupi dalam Rancangan Malaysia ke 12, 13 dan 14," katanya.

Katanya, inisiatif untuk melaksanakan beberapa aspirasi dalam pelan itu terutama projek pembangunan berskala kecil dan sederhana di kawasan Kadamaian termasuk menyediakan peruntukan yang saya pohon bagi memulakan pembangunan berfasa pusat ekonomi di Taginambur, tempat pelan pembangunan ini dilancarkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ewon berkata, dalam tempoh dua tahun, pelbagai jenis kemudahan ameniti sosial dibangunkan di Kadamaian untuk memulakan aspirasi dalam pelan itu.

“Melalui inisiatif saya dan pasukan Kadamaian, kita berjaya mendapatkan nilai peruntukan melebihi RM18 juta dalam tempoh dua tahun daripada pelbagai sumber peruntukan yang disalurkan melalui Pejabat Daerah Kota Belud, khas untuk DUN Kadamaian.

“Ini belum termasuk pembangunan yang dilaksanakan sendiri oleh pelbagai kementerian, agensi dan jabatan Kerajaan di Kadamaian,” katanya.

Sehubungan itu, Ewon berharap pengundi Kadamaian dapat membuat pilihan terbaik bagi memastikan kesinambungan pembangunan yang dirancang sebelum ini.

“Pengundi kawasan Kadamaian boleh memilih wakil rakyat tanpa menjatuhkan maruah dan prinsip sesiapa, sebaliknya menghargai sumbangan, peranan dan pencapaian semua wakil rakyat Kadamaian dipilih selama ini.

“Kita menghargai perbezaan politik. Ia bukan soal parti siapa tetapi mengenai bagaimana aspirasi rakyat diurus dengan sebaiknya oleh pemimpin,” katanya.