PBS anggap lawan sekutu sebagai 'pertembungan mesra'

Radin Malleh
Radin Malleh
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Bersatu Sabah (PBS) menyifatkan pertembungan antara sekutu mereka iaitu Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) serta parti dalam gabungan itu di 17 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 sebagai satu 'pertembungan mesra'.

Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Radin Malleh berkata, parti itu melihat perkembangan itu secara positif dan akan memperkukuh kedudukan PN di Sabah.

"Kami menganggapnya sebagai satu pertembungan mesra. Apa yang penting ialah parti komponen PN memenangi semua kerusi yang ditandingi," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau yang merupakan Pengarah Operasi Pilihan Raya PBS mengakui semua usaha telah dilakukan bagi mengelak berlakunya pertembungan itu namun ia sesuatu yang sukar.

Radin akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap yang menyaksikan persaingan enam penjuru membabitkan BN, Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Demokratik Liberal (LDP).

"Perkara itu telah dibangkitkan dalam beberapa pertemuan berhubung pengagihan kerusi yang menyaksikan terdapat pertindihan kerusi dengan parti sekutu lain," katanya.

BN akan bertembung dengan sekutunya PN dan PBS di 17 daripada 73 kerusi pada PRN Sabah iaitu Bengkoka, Telupid, Lumadan, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Kapayan, Karamunting, Melalap, Sook, Bingkor, Moyog, Tulid, Paginatan, Liawan, Tambunan dan Tanjung Aru.

ARTIKEL BERKAITAN: BN bertembung sekutu di 17 kerusi PRN Sabah

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara, Kampus Sabah, Cawangan Kota Kinabalu, Tony Paridi Bagang berkata, pertembungan dalam kalangan sekutu merupakan indikasi bahawa perundingan kerusi kurang berjaya dan mengundang pertembungan mesra.

"Indikasi awalnya PBS menggunakan lambang sendiri sudah memberi mesej bahawa mereka untuk meletakkan calon di kebanyakan kawasan.

"Tambahan lagi, PBS sudah keluar daripada BN dan tiada obligasi untuk PBS memenuhi kehendak BN mahupun PN," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.