X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan kaji terap aspek kelestarian pulih ekonomi pasca Covid-19

Tengku Zafrul
A
A

IPOH - Kerajaan akan mengkaji usaha untuk menerapkan aspek kelestarian dalam pemulihan ekonomi pasca Covid-19 bagi mentakrifkan semula hubungan sosio-ekonomi manusia dan alam sekitar, kata Menteri Kewangan,Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, perkara itu akan dikaji dari segi perundangan, dasar, pendidikan dan program kesedaran bagi memastikan pembangunan yang seimbang serta kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga.

"Ramai yang menganggap amalan lestari sebagai satu kos yang boleh dielakkan tanpa menyedari bahawa amalan tersebut boleh mengurangkan kos yang jauh lebih tinggi disebabkan faktor-faktor luaran.

"Buat masa ini, pengukuran pencapaian sesebuah perniagaan tidak mengambil kira impak atau kos kepada alam sekitar dan masyarakat secara holistik. Kesedaran (mengenai) perkara ini masih rendah dan perlu ditingkatkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menghadiri Jelajah Konsultasi Belanjawan 2021 Kementerian Kewangan Perak di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata, perniagaan lestari harus dirancang secara strategik dan dilaksanakan bagi mewujudkan nilai kepada semua pihak berkepentingan bermula daripada pelanggan kepada pembekal di peringkat kepenggunaan hingga kepada pelabur tempatan serta antarabangsa.

Beliau menegaskan, kerajaan komited memastikan aspek kelestarian diberi penekanan dalam Belanjawan 2021 selain mahu sasaran Hala Tuju Kelestarian Alam Sekitar Malaysia 2030 (Malaysia Lestari 2030) tercapai sekali gus memenuhi beberapa Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Kita mesti memahami dan memartabatkan hubungan di antara kelangsungan hidup manusia dan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar. Ancaman seperti banjir, tanah runtuh, wabak penyakit dan sebagainya boleh berlaku jika kita tidak prihatin.

"Kerajaan perlu berbelanja lebih bagi memulihkan keadaan dan melindungi nyawa. Oleh itu, usaha pencegahan lazimnya lebih mudah dan efektif dari segi kos daripada pemulihan," katanya.

Mengenai program hari ini, Tengku Zafrul berkata, pihaknya mengadakan sesi dialog dengan wakil-wakil industri sawit di Ipoh dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan alam sekitar di Hutan Simpan Bakau Matang di Kuala Sepetang, Taiping merangkumi keperluan dasar dinamik, sokongan sumber dan kerjasama yang boleh dijalin bagi meningkatkan agenda kelestarian dalam Belanjawan 2021.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, rakyat Perak telah menerima manfaat bernilai hampir RM1.69 bilion daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) manakala perniagaan di negeri itu mendapat manfaat bernilai RM1.31 bilion.

Katanya, dari segi memperkukuhkan ekonomi, kerajaan pusat telah menyalurkan bantuan bernilai RM7.36 juta melalui projek-projek kecil. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!