177 pelajar sekolah menengah di Johor positif dadah

Seramai 177 pelajar sekolah menengah di Johor dikesan positif dadah hasil ujian saringan air kencing dilaksanakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). - Gambar hiasan 123rf
Seramai 177 pelajar sekolah menengah di Johor dikesan positif dadah hasil ujian saringan air kencing dilaksanakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). - Gambar hiasan 123rf
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 177 pelajar sekolah menengah di Johor dikesan positif dadah hasil ujian saringan air kencing dilaksanakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), kata Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri Mazlan Bujang.

Beliau berkata, jumlah itu dikesan hasil ujian saringan yang dijalankan terhadap 10,132 pelajar Tingkatan Empat dan Lima dari 280 buah sekolah seluruh negeri oleh AADK sejak awal tahun ini.

“Pelajar-pelajar ini biasanya ada simptom yang boleh kita kesan (terbabit dadah) walaupun angkanya tidak terlalu membimbangkan, kita seharusnya kena peka dan prihatin.

“Kita hendak sifar kes. Itu harapan kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Transformasi Minda: Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti Bagi Menangani Masalah Penyalahgunaan Dadah, Substan dan Pelencongan Sosial di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah AADK Johor Azli Ubin dan Timbalan Pengarah (Pembangunan Murid) Jabatan Pendidikan negeri Omar Salleh.

Terdahulu, Mazlan dalam ucapannya berkata, jenis dadah yang disalahgunakan berbeza saban tahun, namun yang paling jelas terdapat peningkatan permintaan terhadap dadah sintetik seperti methamphetamine.

Katanya, beliau mahu semua pihak memainkan peranan agar masalah dadah dapat ditangani secara menyeluruh dan berkesan. - Bernama

Artikel Berkaitan: