Gangguan air di Port Dickson, Rantau, Seremban pulih esok

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A
SEREMBAN - Gangguan bekalan air di negeri ini khususnya di daerah Port Dickson serta sebahagian Seremban dan Rantau dijangka pulih sepenuhnya esok, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Beliau berkata gangguan bekalan air ini ekoran kejadian tebing runtuh di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi pada Khamis lepas.

Sebanyak 34,000 kediaman di Port Dickson dan 8,000 kediaman di Seremban serta Rantau telah menghadapi masalah bekalan air.

“Kita telah berusaha menyelesaikan masalah ini secepat mungkin dengan melakukan kerja-kerja pembaikan tebing yang runtuh namun disebabkan faktor cuaca, hujan yang berterusan dan arus yang kuat menyebabkan tebing tersebut runtuh semula.

Pada hari ini kita mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak seperti Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memastikan perkara ini dapat diselesaikan kadar segera dengan menggunakan 3,000 tan batu besar bagi menguatkan tebing agar tidak mudah runtuh,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

“Insya-ALLAH...esok selewatnya-lewatnya jam 8 pagi, penduduk sudah boleh mendapatkan bekalan air di rumah seperti biasa,”

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Dr Razali Ab Malik dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan Penerangan dan Integrasi Nasional Choo Ken Hwa.

Aminudin juga berharap agar penduduk bersabar kerana pihak yang terlibat sedang berusaha menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin di samping memberikan bantuan bekalan air secara percuma ke beberapa kawasan yang terjejas.

“Kita telah meningkatkan bekalan bantuan air dengan menghantar sebanyak 108 buah lori ke kawasan yang terbabit dan saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada syarikat-syarikat bekalan air dari beberapa negeri seperti Selangor, Perak, Melaka, Johor, Kelantan, Pahang, Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu yang turut menghantar bantuan bekalan air kepada kita,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains Norzita Ismail berkata pihak Sains dan JPS kini sedang giat melaksanakan kerja-kerja di tapak LRA dan berusaha untuk menyiapkan kerja-kerja pembaikan tebing pada hari ini.

“Menteri Besar Aminuddin Harun sebolehnya mengharapkan gangguan bekalan air akan pulih sewal pagi esok. Kita akan berusaha melakukan kerja-kerja pembaikan namun ianya juga bergantung pada keadaan dan cuaca untuk hari ini,” katanya.- Bernama