Aplikasi MySejahtera dapat kesan penduduk yang lari

 Dr Adham Baba
Dr Adham Baba
A
A
A

ISKANDAR PUTERI- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yakin Aplikasi MySejahtera dapat mengesan penduduk Kota Setar, Kedah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran mulai hari ini sekiranya mereka cuba lari.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, aplikasi berkenaan membolehkan KKM mengesan penduduk dan kontak rapat mereka menerusi maklumat peribadi yang disimpan dalam sistem berkenaan.

"Inilah gunanya MySejahtera. Mereka (penduduk atau kontak rapat) akan dihubungi KKM jika didapati berisiko atau ke tempat yang disahkan ada jangkitan aktif.

"Kita akan pastikan mereka tidak akan terlepas malah sudah lebih 16 juta individu yang mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Mural Lego bagi menghargai petugas barisan hadapan Covid-19 di Legoland, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai pergerakan orang ramai meninggalkan kawasan itu sehingga menyebabkan Jalan Alor Star ke Sungai Petani sesak teruk selepas pengumuman perintah berkenaan petang semalam.

PKPD pentadbiran itu dilakukan selepas mengambil kira peningkatan kes positif Covid-19 daripada Kluster Sungai dan Tawar di daerah berkenaan.

Artikel Berkaitan: