X

Kindly register in order to view this article
!

PRK Cameron Highlands: Inilah bahaya bila rakyat berdiam

Calon BN, Ramli Mohd Nor pertahan kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan jumlah undi 12,038.
A
A

KERAJAAN boleh beri sejuta alasan untuk merasionalkan janji-janji yang tertangguh. Alasan seperti hutang negara yang menimbun hasil kerja tangan Umno-BN menjadi hujah paling popular sehingga rakyat muak dengan alasan tersebut.

Sememangnya kerajaan sedang pusing memikirkan bagaimana ingin menyelamatkan kedudukan kewangan negara yang hakikatnya sudah parah. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini meminta rakyat bersabar untuk tiga tahun lagi bagi memberi masa kepada Kerajaan Pakatan Harapan membaik pulih kewangan negara.

Tetapi rakyat hari ini sudah terlalu lama bersabar. Lalu permohonan masa tambahan tiga tahun itu mungkin sukar untuk diterima rakyat. Sikap kerajaan hari ini menjadikan seolah-seolah pihak yang menggesa agar manifesto PRU14 dilaksanakan segera dilihat sebagai pihak yang menyusahkan. Sehingga suara-suara desakan juga semakin menghilang akibat tenggelam dengan alasan-alasan bersulam nombor dan angka yang sukar difahami rakyat biasa.

Yang mendesak menjadi serba salah, yang didesak pula kelihatan semakin selesa dalam pejabat-pejabat besar dengan gaji puluhan ribu sebulan. Inilah bahayanya bila rakyat sudah berdiam.

Bodohnya Umno-BN adalah kerana mereka tidak belajar sewaktu rakyat bising melalui demonstrasi-demonstrasi jalanan. Malangnya PH apabila tidak berpeluang melayan kebisingan rakyat, tetapi dalam diam rakyat terus menghukum.

Terkadang kelihatan kerajaan seperti masih terbuai kenangan indah kemenangan 9 Mei 2018.

Untuk berlaku adil, sememangnya terdapat kementerian-kementerian tertentu yang dilihat ada pergerakan dan perkembangan seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Wanita, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perumahan. Namun ada juga sesetengah kementerian yang sehingga hari ini jika ditanya nama menterinya, ramai orang tidak tahu.

Kekalahan PH di Cameron Highlands walaupun memang sudah dijangka, tetapi wajar diambil serius. Pilihan rakyat perlu dihormati dan khidmat tetap perlu dicurahkan kepada semua rakyat tanpa mengira sempadan politik.

Agak menyedihkan apabila irama kempen parti-parti kerajaan dalam PRK Cameron Highlands terlalu sarat dengan sentimen politik kepembangkangan. Tetapi itulah yang terjadi apabila kerajaan tak banyak cerita atau kerja yang boleh dikongsikan kepada rakyat. Sebenarnya PH tak perlu bersusah payah mencongak untuk menang jika janji-janji manifesto sudah banyak tertunai.

Malangnya kempen sesetengah pemimpin PH masih terlalu berkiblatkan Najib dengan cerita-cerita skandal yang satu dunia sudah tahu.

Akhirnya naratif perlawanan di Cameron Highlands didominasi oleh Najib. Ini merupakan sesuatu kesilapan fatal yang tidak boleh diulangi lagi.

Tidak perlu dibuat 'retreat' atau ‘Perkampungan Muhasabah’ selama 3 hari 2 malam di mana-mana pusat peranginan untuk mengenal pasti punca kekalahan di Cameron Highlands. Juga tidak perlu berpening kepala untuk memikirkan bagaimana untuk melawan sentimen perkauman dan keagamaan sempit mainan Pas dan Umno. Hal ini kerana rakyat telah memberi segala jawapan pada 9 Mei yang lalu.

Rakyat mahukan kerajaan yang jujur, bukannya kerajaan yang terkantoi menggunakan kereta milik agensi kerajaan untuk berkempen politik. Rakyat mahukan kerajaan yang boleh buat kerja, bukannya menteri yang banyak cakap tetapi hasil belum ada. Rakyat mahukan kerajaan yang berkebajikan, bukannya sibuk membincangkan kenaikan tarif air dalam keadaan manifesto kebajikan yang lain belum terlaksana sepenuhnya.

Tiga tahun lagi bermakna Malaysia sudah berada di ambang PRU15. Jika pada waktu itu baru semua manifesto ingin dilaksanakan, tidakkah hal tersebut kelihatan persis seperti gula-gula pilihan raya sama seperti gaya kerajaan BN sebelum ini?

Oleh itu, tidak dapat tidak, Kerajaan PH perlu segera melaksanakan manifesto-manifesto kebajikan berpandukan Buku Harapan Mei 2018. Kerajaan semestinya mampu mengurus proses pembayaran hutang negara, tetapi lebih penting kerajaan perlu mengurus perasaan rakyat yang sudah semakin kecewa.

Ini bukan semata-mata soal PRK Semenyih, lebih penting untuk memastikan survival PH terus bertahan dalam memimpin Malaysia kembali sebagai sebuah negara yang disegani dunia.

* Penulis ialah Ketua Setiausaha Pemuda Pakatan Harapan


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus