Suspek belasah bekas sami didakwa esok

Hasron Nazri
Hasron Nazri
A
A
A

KAMPAR - Seorang lelaki berusia 30 tahun akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kampar esok dipercayai menyebabkan kematian seorang bekas sami dalam kejadian di Kampung Batu Putih di sini pada bulan lalu.

Bekas sami berusia 54 tahun itu disahkan meninggal dunia pada 1 September lalu selepas 12 hari koma akibat dibelasah suspek sehingga patah tulang leher.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, siasatan mendapati mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 21 Ogos lalu dan dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

“Mangsa mengalami retak tulang leher dan rahang serta mempunyai darah beku di kepala kerana terdapat kesan pukul dan dalam keadaan koma.

“Laporan dibuat oleh adik mangsa pada 28 Ogos lalu. Hasil temu bual dengan keluarga mendapati mangsa tinggal di sebuah rumah kosong bersama dengan suspek beberapa bulan lalu,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Hasron berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang senjata yang boleh dikaitkan dengan kejadian itu.

“Tangkapan dibuat pada 30 Ogos lalu dan hasil temu bual awal, suspek mengaku bergaduh dengan mangsa dan telah memijak bahagian kepala dan leher beberapa kali.

“Bagaimanapun, pihak hospital memaklumkan bahawa mangsa telah maut dan hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa berpunca dari kecederaan kepala disebabkan oleh objek tumpul,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hasron Nazri berkata, kertas siasatan telah lengkap dan suspek akan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh, Seksyen 411 kanun sama iaitu memiliki barang curi dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.