JPA disaran tingkat modul latihan kepada penjawat awam

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta untuk mempertingkatkan lagi modul latihan kepada penjawat awam susulan terdapat banyak kes penipuan berlaku melibatkan mangsa daripada golongan tersebut termasuk pesara kerajaan hingga mengakibatkan kerugian mencecah jutaan ringgit.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, umum mengetahui bahawa penjawat awam mempunyai sedikit kelebihan serta lebih mudah membuat pinjaman melalui institusi kewangan.

Malah katanya, sewaktu bersara pula penjawat awam ini akan diberikan imbuhan atas perkhidmatan mereka dan disebabkan faktor itulah golongan itu serta pesara kerajaan sering menjadi mangsa sasaran sindiket penipuan walaupun gaji mereka tidaklah begitu besar.

"Disebabkan itu, Cuepacs melihat amat perlu untuk JPA meningkatkan modul latihan kepada golongan penjawat awam tetapi tidak semestinya menjurus kepada pengurusan kewangan, pembangunan kerjaya serta peningkatan kualiti perkhidmatan sahaja.

"Sebaliknya ia perlu meliputi pelbagai bidang latihan termasuklah mengenai hal-hal berkaitan modus operandi sindiket penipuan dan pelaburan palsu," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Adnan berkata, pemberian latihan atau kursus berkaitan sindiket penipuan dapat mengelakkan masalah yang lebih besar berlaku pada masa akan datang.

Menurutnya, penekanan terhadap latihan dan kursus mengenai sindiket penipuan itu boleh dilakukan secara formal dengan pembentukan modul latihan yang khusus, manakala latihan bukan formal boleh diberikan dalam bentuk pameran pendidikan, hebahan dan risalah.

"Ketua-ketua jabatan juga perlu sering mengingatkan kakitangan masing-masing mengenai modus operandi dan kegiatan sindiket penipuan ini melalui perhimpunan bulanan yang dilakukan secara berkala.

Artikel Berkaitan:

"Penekanan secara berkala dan berterusan ini boleh menjadikan semua pihak celik atau faham mengenai modus operandi, kesan dan akibat menjadi mangsa sindiket penipuan ini.

"Kita juga menasihatkan semua penjawat awam dan pesara lebih berhati-hati dalam membuat keputusan berkaitan pengurusan kewangan termasuklah membuat pinjaman dan pelaburan," katanya.

Adnan berkata, penjawat awam perlu menjadikan pihak berkuasa sebagai badan rujukan utama sebelum melakukan apa-apa jua keputusan membabitkan pengeluaran jumlah wang yang besar serta jangan membuat keputusan terburu-buru sekiranya menerima panggilan telefon yang menawarkan atau meminta maklumat kewangan peribadi.

Menurutnya, penjawat awam perlu mendapatkan nasihat dan pandangan daripada ahli keluarga terdekat atau membuat laporan kepada pihak berkuasa agar dapat membantu mencegah kegiatan sindiket penipuan ini daripada terus berleluasa.

"Sekiranya ingin membuat pelaburan, pilihlah agensi atau badan yang diberi tauliah daripada pihak berkuasa dan berwibawa. Jangan terlalu cepat percaya janji manis daripada pelaburan yang menawarkan keuntungan sekelip mata.

"Pihak berkuasa disarankan meningkatkan lagi penguatkuasaan secara berterusan sebagai langkah melindungi rakyat dan hukuman yang lebih berat juga perlu dikenakan kepada pelaku jenayah penipuan tersebut," katanya.