Teka-teki nasib 14 ADUN lompat parti

Gambar dari kiri: Dr Romzi Ationg, Jamawi Jaafar, Kenny Chua
Gambar dari kiri: Dr Romzi Ationg, Jamawi Jaafar, Kenny Chua
A
A
A

MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini, sejumlah 1,124,598 pengundi negeri itu kini berdepan dilema sama ada mahu keluar atau pulang mengundi, terutama dalam kalangan mereka yang merantau ke negeri lain untuk bekerja.

Dilema mereka ada asasnya, yang pertama mereka kini berdepan kebimbangan penularan baharu pandemik koronavirus (Covid-19) apabila Kluster Benteng di Sabah menyumbang 63 kes daripada keseluruhan 100 kes Covid-19 kelmarin.

Kedua, kebanyakan pengundi Sabah yang tinggal di luar keberatan untuk pulang mengundi pada 26 September ini kerana berdepan masalah kewangan akibat Covid-19.

Mereka juga difahamkan bosan dengan sikap sebahagian wakil rakyat yang amat mudah melompat daripada satu parti ke satu parti lain demi menukar pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu persidangan Dewan Rakyat pernah menjelaskan senario wakil rakyat Sabah melompat parti bukan sesuatu yang pelik dan ia sudah berlaku sejak sekian lama.

Mengimbas kembali sejarah pilihan raya negeri Sabah, senario perubahan politik hampir sama turut berlaku pada PRN Sabah tahun 1985 dan 1986, PRN 1994 dan pilihan raya umum (PRU) 2018 meskipun dalam konteks berbeza.

Secara ringkas, pada PRN Sabah tahun 1986, Ketua Menteri ketika itu, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Parti Bersatu Sabah (PBS) akhirnya berjaya mempertahankan kerajaan negeri setelah diadakan satu pilihan raya mengejut selang setahun selepas PRN tahun 1985.

Pada PRN 1994 pula, UMNO yang pertama kali bertanding di Sabah berjaya memenangi hampir semua kerusi majoriti pengundi Islam, sekaligus menyebabkan Pairin dan PBS hanya memenangi pilihan raya dengan majoriti dua kerusi sahaja.

Artikel Berkaitan:

Namun, dua minggu kemudian, kedudukan Pairin sebagai Ketua Menteri Sabah tumbang setelah berlaku drama lompat-melompat dengan jawatan itu akhirnya dipegang UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Begitu juga pada PRU14 di mana drama kejadian wakil rakyat lompat parti berlaku sekali lagi, yang menyaksikan Warisan dan sekutunya Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan negeri daripada UMNO-BN.

Drama politik

Hakikatnya, peristiwa bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman gagal mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak dibubarkan sebelum ini, juga merupakan manifestasi kepada senario itu.Situasinya tetap sama, Musa pada 29 Julai lalu, mengumumkan memperoleh majoriti mudah membentuk kerajaan Sabah baharu menggantikan kerajaan Warisan Plus setelah mendapat sokongan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada keseluruhan 65 ADUN termasuk lima ADUN lantikan.

Antara 14 ADUN daripada kerajaan Warisan Plus yang menyokong Musa ialah Datuk Hamisa Samad (Tanjung Batu), Datuk Osman Jamal (Balung), Kenny Chua (Inanam), Datuk Muis Picho (Sebatik), Datuk Bolkiah Ismail (Pitas), Datuk Masiung Banah (Kuamut), Abdul Rahman Kangkawang (Labuk), Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Datuk Saddi Abd Rahman (Sukau), Datuk Anita Beranting (Tandek), Jamawi Jaafar (Kemabong), Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) dan Datuk James Ratib (Sugut).

Justeru, persoalan yang bermain dalam fikiran rakyat Sabah sekarang adakah 14 ADUN yang melompat parti itu _ ada yang melompat sebanyak dua kali dalam tempoh sepenggal _ masih diberikan kepercayaan oleh BN untuk bertanding kelak?

Bagi seorang ADUN daripada UMNO yang melompat parti menyertai Warisan dan kini kembali bersama parti asalnya, Jamawi Jaafar sewaktu dihubungi Sinar Harian menafikan kepimpinan BN dan PN di Sabah sudah menutup ruang dan peluang kepada kesemua ADUN lompat parti untuk menjadi calon pilihan raya akan datang.

Menurutnya, beberapa ADUN lompat parti termasuk dirinya sudah dihubungi Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Sabah, Datuk Bung Moktar Radin bagi membincangkan perkara itu.

“Bagaimanapun, kita serahkan kepada pucuk pimpinan BN dan PN sama ada akan menerima kami semula sebagai calon PRN Sabah atau tidak.

“Di sebalik dakwaan kami khianati mandat rakyat, ramai tidak menyedari bahawa senario politik Sabah berbeza dengan Semenanjung Malaysia kerana politik pembangunan rakyat lebih penting daripada politik kepartian.

“Hakikat sebenar rakyat Sabah sebenarnya lebih gembira kami kembali ke 'rumah asal' kerana tindakan politik itu akan memastikan projek pembangunan di kawasan mereka tidak terjejas,” katanya.

Sokongan rakyat

Dalam pada itu, seorang lagi bekas ADUN PKR yang dipecat, Kenny Chua meluahkan keyakinan beliau akan dipilih semula sebagai salah seorang calon gagasan PN bagi menghadapi PRN Sabah.

“Setahu saya, memang semua mantan ADUN lompat parti akan diberi mandat balik untuk bertanding, itu info setakat ini yang kami dapat, tetapi segalanya bergantung keputusan (mesyuarat pimpinan parti dalam PN) malam ini (malam esok),” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg menjangkakan hanya empat ADUN daripada keseluruhan 14 ADUN lompat parti yang menyokong kem Musa membentuk kerajaan baharu akan diberikan tempat bertanding oleh gagasan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, jangkaan itu dibuat berdasarkan kemampuan empat ADUN berkenaan termasuk ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury dan ADUN Kemabong, Jamawi Jaafar untuk mengekalkan kemenangan mereka di kawasan kerusi DUN yang ditandingi.

“Di sebalik dakwaan rakyat Sabah bakal menolak wakil rakyat lompat parti, isu itu sebenarnya bukan isu kritikal kerana senario itu sebenarnya sudah lama berlaku di negeri itu.

“Bagi saya, rakyat lebih memilih calon atas faktor kemampuan mereka memberi perubahan kepada kehidupan pengundi, bukan isu retorik seperti lompat parti,” katanya.

Romzi juga tidak menolak kemungkinan ADUN lompat parti yang lain masih berpeluang kembali bertanding, termasuk ADUN Inanam, Kenny Chua.

“Wakil rakyat seperti Kenny, beliau mungkin akan dipilih atas faktor mempunyai jentera akar umbi kuat di DUN Inanam dan dikenal pasti antara ADUN yang bekerja untuk rakyat,” katanya.

Mengenai jumlah kerusi yang akan diperuntukkan kepada setiap parti dalam gagasan PN, Romzi menjangkakan UMNO akan memonopolinya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengalah bagi memberi lebih ruang kepada parti-parti komponen lain.