X

Kindly register in order to view this article
!

Parti Suu Kyi dijangka kuasai Myanmar

Bekas penerima Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi berharap partinya akan memenangi pilihan raya di negara itu. - Foto AFP
A
A

IKON demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi berharap partinya, Liga Untuk Demokrasi Kebangsaan (NLD) akan berjaya memperoleh kemenangan yang besar dalam pilihan raya di negara itu yang akan diadakan pada bulan November ini.

Kempen pilihan raya itu bermula pada Selasa lalu dan NLD mula berkuasa melalui satu pilihan raya yang bebas pada tahun 2015 sekali gus memenangi kira-kira 80 peratus kerusi parlimen di negara tersebut.

Namun, dia tidak boleh menjadi Presiden dan Perdana Menteri Myanmar disebabkan mendiang suami dan anaknya ialah warga Britain sekali gus bertentangan dengan undang-undang negara itu walaupun memenangi satu kerusi parlimen di Myanmar.

Bagaimanapun, wanita berkenaan merupakan pemimpin de facto negara itu dan dilantik sebagai Kauselor Negara pada tahun 2016 iaitu jawatan yang dikatakan hampir sama dengan Perdana Menteri.

Imejnya yang merupakan penerima Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1991 kini terjejas berikutan dakwaan berlakunya pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya.

Etnik Rohingya merupakan isu yang perlu diberi perhatian utama oleh negara Myanmar. - Foto AFP
Etnik Rohingya merupakan isu yang perlu diberi perhatian utama oleh negara Myanmar. - Foto AFP

Namun, Suu Kyi yang pernah menjadi Menteri Hal Ehwal Luar itu dan berjuang menegakkan demokrasi dan menentang pemerintahan junta tentera masih popular dalam kalangan rakyat Myanmar.

Menurut portal berita The Interpreter, para pengundi di negeri Rakhine kebanyakannya ialah penduduk Muslim yang mungkin tidak akan mengundi kerana isu kewarganegaraan dan disebabkan oleh kempen keganasan terhadap mereka.

Terdapat lebih 800,000 etnik Rohingya dikatakan masih menjadi pelarian di sempadan Bangladesh dan mempunyai harapan tipis bahawa mereka akan kembali semula dalam tempoh yang segera ke Myanmar.

Kempen pilihan raya itu juga berlangsung ketika negara itu dilanda dengan pandemik koronavirus yang mencatatkan 1,610 kes dan lapan kematian baru-baru ini.

Ia juga diadakan selepas dua askar Myanmar membuat pengakuan melalui video dan kenyataan mereka juga didedahkan oleh sebuah kumpulan hak asasi manusia, Fortify Rights baru-baru ini.

Kedua-duanya menyatakan bahawa mereka telah diarahkan menembak dan membunuh etnik Rohingya di negeri Rakhine pada tahun 2017.

Mereka juga dikatakan telah dibawa ke The Hague, Belanda untuk membantu perbicaraan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung jenayah menentang kemanusiaan yang didakwa berlaku di negara tersebut.

Seorang peguam bela dari Kanada, Profesor Payam Akhavan yang mewakili kepentingan etnik Rohingya di ICC dilaporkan berkata, dua askar tersebut muncul di pos sempadan Bangladesh bagi meminta perlindungan kerajaan dan didakwa mengaku wujud kejadian pembunuhan dan rogol etnik tersebut pada tahun 2017.

Pada tahun 2017, lebih 700,000 etnik Muslim Rohingya melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh dengan mendakwa mereka menjadi mangsa kempen diketuai tentera Myanmar yang melakukan pembunuhan, serangan seksual dan lain-lain kemusnahan.

Bagaimanapun, negara tersebut berulang kali tidak mengaku melakukan pembunuhan beramai-ramai dengan menyatakan operasi pada tahun 2017 itu hanya menyasarkan militan Rohingya yang menyerang pos sempadan polis.

Gambia sebelum ini juga telah membawa kes pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di Myanmar ke ICC dan ia didengar di mahkamah itu pada tahun lalu bagi pihak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianggotai sebanyak 57 buah negara.

Namun, Suu Kyi yang merupakan anak pemimpin nasionalis negara itu, Aung San dilaporkan pernah mendesak supaya kes tersebut digugurkan dan menolak dakwaan berlakunya pembunuhan beramai-ramai.

Dia dikatakan berkata kepada hakim-hakim mahkamah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu bahawa membenarkan kes Gambia tersebut diteruskan akan mewujudkan satu krisis dan menjejaskan perdamaian.

Walaupun imejnya terjejas di luar negara, Suu Kyi pernah berkata pada Selasa lalu di pejabat partinya di ibu kota Naypyidaw bahawa: "Kami mahukan kemenangan kami menjadi kemenangan negara."

Menurut AFP, dia juga mengucapkan terima kasih kepada para penyokongnya yang mengibarkan bendera NLD di seluruh negara.

Dalam pilihan raya itu, partinya dijangka menang sekali lagi sama seperti pilihan raya pada tahun 2015.

"Pilihan raya ini bukan lagi sebagai satu pungutan suara mengenai pencapaian kerajaan NLD dalam tempoh lima tahun lepas. Ia lebih kepada sokongan awam kepada pemimpin awam di negara itu dan kempennya bagi memerangi koronavirus," kata seorang perunding bebas kewangan, William Maung seperti dilaporkan portal berita Bangkok Post baru-baru ini.

Sebuah beca dihiasi dengan bendera parti Liga Untuk Demokrasi Kebangsaan di Yangon pada 7 September lalu. - Foto AFP
Sebuah beca dihiasi dengan bendera parti Liga Untuk Demokrasi Kebangsaan di Yangon pada 7 September lalu. - Foto AFP

Harapan parti itu akan menang turut dinyatakan oleh seorang pemimpin muda dan anggota NLD, Alex Aung Khant yang berkata kepada portal tersebut: "Ramalan awam ialah NLD akan menang semula dan saya berharap ia akan berlaku."

Seorang penjaja jalanan, Myint Myint Htay, 61, memberitahu AFP: "Saya tidak berfikir mengenai dasar atau calon. Saya menyayangi Ibu Suu dan saya suka dengan apa yang dilakukannya untuk negara."

Namun, pihak tentera masih mempunyai banyak kuasa di negara itu di negara diperintah menerusi perlembagaan yang diwujudkan oleh bekas junta tentera.

Pihak tentera pula menguasai tiga kementerian utama dan memperoleh 25 kerusi parlimen.

Sebelum ini, Parti Pembangunan dan Kesatuan Solidariti serta Parti Arakan Kebangsaan mendesak Suruhanjaya Kesatuan Pilihan Raya (UEC) supaya menangguhkan pilihan raya itu jika pandemik Covid-19 semakin buruk.

Namun, Suu Kyi mungkin tidak mahu ia ditangguhkan, kata penganalisis beribu pejabat di Yangon, Richard Horsey.

Dia telah mengetuai negara menentang pandemik itu dan menangguhkan pilihan raya hanya petanda bahawa pemimpin berkenaan tidak akan berjaya memenangi 'pertempuran' tersebut, katanya. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!