PBT perlu contohi MPBP: Menteri

Bee Yin (tengah) sewaktu merasmikan Sesi Townhall Bandar Penggaram Ke Arah Bandar Rendah Karbon 2030 di Batu Pahat.
Bee Yin (tengah) sewaktu merasmikan Sesi Townhall Bandar Penggaram Ke Arah Bandar Rendah Karbon 2030 di Batu Pahat.
A
A
A

BATU PAHAT - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negara ini perlu mengikuti jejak langkah Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) mewujudkan Bandar Rendah Karbon (LCC) dalam usaha untuk mengawal pelepasan gas karbon dioksida (CO2) dan menjayakan hasrat kerajaan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, agenda LCC ini juga merupakan salah satu agenda penting pada masa kini bukan sahaja di negara malah di peringkat antarabangsa bagi mengawal perubahan iklim dan isu pemanasan global.

"Pada abad ke-21 ini, perubahan iklim dan peningkatan kawasan perbandaran merupakan faktor yang paling kritikal untuk ditangani bersama kerana pada setiap 0.4 hektar tanah yang dimajukan akan menghasilkan 10 tan CO2 dan ini akan menyumbang kepada kadar pelepasan karbon yang tinggi khususnya bagi pemajuan berskala besar di sesebuah kawasan.

"Jadi,saya dimaklumkan bahawa MPBP adalah antara 24 PBT di Malaysia pada tahun 2018 yang telah bersetuju untuk memberi komitmen untuk menurunkan kadar pelepasan CO2 sebanyak 45 peratus pada 2030 berbanding 2005," katanya.

Beliau berkata demikian demikian dalam ucapannya sewaktu merasmikan Sesi Townhall Bandar Penggaram Ke Arah Bandar Rendah Karbon 2030 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, semalam.

Turur hadir, Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon; Adun Penggaram, Gan Peck Cheng; Pegawai Daerah Batu Pahat, Zulkiflee Abas dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Shafiei Ahamad.

Menurutnya, semasa menyertai Konvensyen Persidangan Pihak-Pihak Tentang Perubahan Iklim (COP24) di Katowice, Poland, baru-baru ini, beliau juga telah menekankan tentang keupayaan Malaysia untuk mengambil tindakan perubahan iklim yang lebih agresif serta menjadi pemangkin untuk membantu yang lain untuk melaksanakannya.

Bagaimanapun, beliau dengan lantang menekankan bahawa keperluan untuk mendapatkan kerjasama dan sokongan yang lebih besar daripada komuniti antarabangsa adalah perlu bagi menjadikan hasrat kepada tindakan ini berjaya dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Seperti MPBP ini, Bandar Penggaram telah dipilih sebagai Zon LCC seiring dengan hasrat MPBP untuk memperkukuhkan peranan bandar lama ini sebagai sebuah pusat bandar berdaya saing dan akan menjadi sebuah Bandar Rendah Karbon dengan usaha-usaha dan program program yang akan disasarkan di dalam Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon.

"Perancangan yang dibuat oleh MPBP adalah amat signifikan dengan usaha bagi memastikan kadar pengurangan pelepasan CO2 adalah terkawal dan dapat dikurangkan dari semasa ke semasa walaupun pembangunan memang sukar di halang namun ianya boleh di kawal bagi memastikan kadar pengurangan karbon semasa juga terkawal," katanya.

Menurutnya, sebelum ini MPBP juga telah menerima status Provisional Certficate' daripada MESTECC pada 19 Oktober 2018 semasa persidangan Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa (IGEM) 2018 dan berharap usaha MPBP untuk merealisasikan LCC ini dapat dicapai.

Pada majlis tersebut juga, sebanyak 13 agensi kerajaan termasuk institusi pendidikan turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama MPBP dalam usaha untuk menjayakan program LCC ini mengikut Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon.