Restoran kotor diarah tutup

Pasukan penguatkuasa sedang melakukan pemeriksaan.
Pasukan penguatkuasa sedang melakukan pemeriksaan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Tiga premis makanan iaitu dua di Besut dan satu di Setiu diarah tutup selama 14 hari kerana didapati gagal mencapai tahap minimum piawaian kebersihan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, arahan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 itu dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Premis Makanan Bersih di daerah itu semalam.

"Sebanyak 54 premis makanan meliputi 34 buah restoran atau kedai makan dan 20 buah gerai makanan telah diperiksa sepanjang dua hari operasi diadakan di dua daerah tersebut.

“Sebanyak 62 notis memerintahkan kehadiran di mahkamah bagi kesalahan yang boleh dikompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dikeluarkan dengan nilai kompaun sebanyak RM16,350,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, daripada jumlah itu kesalahan berkaitan pakaian pengendali makanan paling banyak dikesan iaitu sebanyak 43 notis.

Penguat kuasa KKM menampal notis arahan penutupan di sebuah restoran kerana gagal mencapai tahap minimum piawaian kebersihan ditetapkan KKM.
Penguat kuasa KKM menampal notis arahan penutupan di sebuah restoran kerana gagal mencapai tahap minimum piawaian kebersihan ditetapkan KKM.

"Tujuh notis dikeluarkan bagi kesalahan majikan menggaji pekerja yang tidak menjalani latihan dan tiada pelalian anti-tifoid, manakala kesalahan memakai perhiasan diri seperti jam dan cincin sebanyak enam notis.

"Tiga notis turut dikeluarkan atas kesalahan tidak menjalani latihan pengendali makanan, pengendali makanan gagal mengekalkan premis makanan bersih (dua notis), manakala pengendali makanan tiada pelalian anti tifoid (satu notis)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selain itu, sebanyak 16 kompaun turut dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana didapati gagal mematuhi syarat pelesenan dengan jumlah amaun ditawarkan sebanyak RM10,000.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan oleh 64 penguat kuasa dari pelbagai agensi kerajaan iaitu KKM, Majlis Daerah Setiu dan Majlis Daerah Besut.

“Ia difokuskan kepada premis tumpuan ramai, persinggahan pelancong bagi memastikan ia beroperasi dalam keadaan bersih, terkawal dan mematuhi peraturan ditetapkan supaya makanan yang dijual kepada pelanggan bersih, selamat dan bebas daripada risiko keracunan makanan.

“Pemantauan akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan pengusaha dan pengendali makanan mematuhi keperluan yang ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” katanya.