Sekatan AS terhadap Huawei beri kesan kepada pengeluar cip

Huawei logo on the glass against blurred business center. Editorial 3D
Huawei logo on the glass against blurred business center. Editorial 3D
A
A
A

SEOUL - Samsung Electronics Co dan pembuat cip ingatan Korea Selatan yang lain turut akan terkesan dengan sekatan tambahan dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas syarikat gergasi telekomunikasi China, Huawei Technologies Co, memetik sumber industri pada hari ini.

Sekatan baharu yang akan mula berkuat kuasa pada Selasa depan itu, mewajibkan pembekalan semikonduktor oleh syarikat AS untuk Huawei perlu mendapat persetujuan Washington terlebih dahulu, lapor agensi berita Yonhap.

Samsung Electronics, pembuat cip ingatan utama dunia, SK hynix Inc dan kebanyakan pemain global lain hampir menghentikan penghantaran ke syarikat China minggu depan.

"Saya difahamkan Samsung Electronics akan menghentikan penghantaran cip untuk Huawei mulai Selasa depan, walaupun ada kemungkinan menjual produk itu setelah mendapat persetujuan AS," kata seorang pemerhati industri.

Huawei merupakan satu daripada lima pelanggan utama Samsung. SK hynix dilaporkan bergantung pada Huawei untuk hampir 10 peratus penjualannya.

Sekatan Amerika yang diramal akan memberi kesan negatif kepada Samsung Electronics dan pemain industri lain dalam jangka pendek, tetapi kemungkinan besar tidak memberi kesan besar untuk jangka panjang, kata pemerhati industri.

Samsung Electronics dijangka dapat memperoleh keuntungan daripada langkah AS itu, berpeluang memperluas jurangnya dengan Huawei di pasaran telefon pintar dan dengan firma China yang lain di sektor 5G.

Sekatan AS dibuat ketika Washington meningkatkan usaha untuk melarang penggunaan teknologi China, dengan alasan keselamatan negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: