Ops Benteng diteruskan kerana berkesan halang kemasukan PATI

Iklan
Ismail Mohamed Said - Foto sumber internet

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan meneruskan Ops Benteng di negara ini dari semasa ke semasa kerana ia didapati berkesan dalam usaha menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, keberkesanan Ops Benteng ialah kerana operasi tersebut dilakukan secara bersepadu antara agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkongsi maklumat risikan.

Iklan
Iklan

"Seperti dimaklumkan sebelum ini, kita tidak peduli dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bersubahat membenarkan PATI mencerobohi sempadan negara.

"Sehingga kini, seramai 25 orang anggota penguatkuasaan telah ditahan kerana terlibat dengan pencerobohan PATI melalui sempadan negara. Seramai 18 anggota dan pegawai polis, lima anggota tentera dan dua pegawai imigresen juga ditahan kerana terlibat," katanya sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawapan lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan diajukan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) berkaitan keberkesanan mekanisme Ops Benteng yang dilaksanakan bagi mengatasi masalah sindiket penyeludupan PATI dan pemerdagangan manusia.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, sejak Ops Benteng dilaksanakan Mei lalu, sebanyak 3,597 tangkapan telah dibuat melibatkan seramai 2,625 PATI selain 602 tekong dan pemberi maklumat dan mereka yang bersubahat membenarkan kemasukan PATI seramai 370 orang.

Iklan

Bagaimanapun, beliau berkata, negara menghadapi bebanan kewangan bagi perbelanjaan PATI yang ditangkap dan ditahan di depoh tahanan Imigresen.

"Perbelanjaan seorang PATI untuk makan, minum, penyediaan tempat dan proses menghantar pulang ke negara asal ialah RM90.

"Kalau kita lihat data, pada 2017 kita tangkap 48,464 orang. Pada 2018 seramai 48,372 orang dan 2019 pula seramai 51,300 orang.

"Cuma bagi tahun 2020, tangkapan hanya 18,092 orang kerana penularan Covid-19. Kita mahu hantar pulang ke negara asal mereka dengan segera dan kita menerima kerjasama baik daripada negara-negara asal," katanya.

Sementara itu menjawab soalan Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) berhubung pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Johor yang daif, Ismail berkata, buat masa ini kementerian sedang perhalusinya agar tidak ada pertindihan dalam soal menjaga sempadan.

"Selaras dengan itu, kita akan perkasakan lagi PGA. Dalam masa terdekat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan mengumumkan sesuatu yang berharga untuk PGA," katanya.