'Mengapa tidak ke lembaga disiplin parti terlebih dahulu'

Iklan
SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kuala Selangor mendakwa surat pemecatan keahlian lima ahli Parlimen parti itu hanya daripada satu pihak tanpa surat tunjuk sebab.

Ketua Bahagiannya, Mohd Shaid Rosli berkata, mereka perlu dihadapkan ke lembaga disiplin parti jika didapati bersalah.

Katanya, kesemua mereka tidak pernah dituduh oleh pengurusan parti atau dipanggil dalam sesi pendengaran daripada lembaga disiplin parti manakala cara dan sebab pemberhentian tidak termasuk dalam klausa Perlembagaan Parti seperti yang telah dinyatakan.

"Tatacara pemberhentian keahlian Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas Pengerusi Bersatu) dan lain-lain sebagai ahli Bersatu tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan parti. Alasan pemberhentian yang diberikan oleh Setiausaha Kerja, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya berkaitan tindakan Dr Mahathir dan beberapa pemimpin lain yang duduk di blok pembangkang semasa sidang dewan Parlimen sebagai sandaran keahlian terhenti adalah tidak menepati klausa 10.2.2 dan 10.2.3," katanya dalam satu kenyataan semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Lima ahli MPT Bersatu termasuk Tun M dipecat daripada parti

Semalam, lima ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu termasuk Dr Mahathir dipecat daripada parti itu serta-merta.

Berdasarkan surat pemecatan yang dikeluarkan parti itu, selain Dr Mahatir yang juga bekas pengerusi Bersatu, turut dipecat ialah Timbalan Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah yang dilihat sehaluan dengan Dr Mahathir.

Mengulas lanjut, Mohd Shaid berkata, fasal 10.2.2 perlembagaan parti menyatakan bahawa keahlian parti terhenti apabila ahli mengisytiharkan keluar dari parti.

"Fasal 10.2.3 menyatakan keahlian terhenti jika ahli menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain. Tidak pernah dalam mana-mana peristiwa di mana Dr Mahathir atau pemimpin lain mengisytiharkan keluar daripada parti. Jadi fasal 10.2.2 tidak boleh diguna pakai di sini.

"Berkenaan kedudukan Ahli Parlimen di dalam blok pembangkang atau kerajaan, itu berbeza dan tidak boleh dianggap menyertai sesebuah parti kerana keahlian parti dan keahlian Dewan Rakyat dua perkara berlainan. Justeru, fasal 10.2.3 juga tidak terpakai dalam situasi ini," katanya.

Justeru, beliau berharap pengurusan parti yang diketuai oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membatalkan dan menarik kembali surat yang di keluarkan.

"Keahlian Dr Mahathir dan lain-lain serta kedudukan mereka masih sah selagi tidak dirujuk ke lembaga disiplin parti dan selagi tiada keputusan diberikan oleh badan itu," katanya.