Pelantikan Dr Samsuri bukan kesilapan, tuduhan bersifat 'tukang karut' - Pemuda Pas Kelantan

Iklan
Mohd Firdaus dan laporan Sinar Harian mengenai pelantikan Dr Samsuri sebagai Pengerusi PN yang baharu.

KOTA BHARU - Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi menyifatkan pandangan Pensyarah Kanan Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub yang melabel pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) satu kesilapan adalah pandangan 'tukang karut yang menunggang akademik'.

Menurut beliau, dalam politik, teori dan realiti lapangan sering kali tidak berjalan seiring.

Iklan
Iklan

“Beliau (Ahmad Samsuri) bukan figura retorik semata-mata. Beliau mempunyai rekod pentadbiran negeri yang stabil serta pendekatan kepimpinan yang tenang dan tersusun.

"Politik gabungan bukan soal siapa paling popular di media sosial, tetapi siapa mampu menyatukan parti-parti komponen dan menggerakkan jentera secara strategik menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya pada Selasa.

Iklan

Menurut beliau, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu dilihat sebagai pemimpin berprofil rendah namun berpengalaman luas dalam pentadbiran negeri, sekali gus diyakini mampu memperkukuh gerak kerja PN di peringkat nasional.

Katanya, pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN satu kesilapan atau langkah strategik yang tepat akan diuji dalam medan sebenar pilihan raya.

Iklan

“Politik bukan sekadar wacana di kampus, tetapi ujian kepercayaan di peti undi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi baharu PN berpotensi menimbulkan krisis defisit kepercayaan dalam gabungan itu.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan Universiti Malaya (UM), Mohammad Tawfik Yaakub, keadaan itu berlaku, terutamanya apabila Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mempunyai pengaruh besar, kini dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PN.

Beliau berkata, walaupun Muhyiddin dilihat bersetuju dengan pelantikan Ahmad Samsuri, dinamika politik menunjukkan beliau bukan tokoh yang mudah melepaskan pengaruhnya.