IPOH – Kuasa menentukan kedudukan tempat duduk ahli Parlimen di Dewan Rakyat adalah hak mutlak Speaker dan bukannya boleh ditentukan oleh mana-mana pemimpin parti termasuk ketua penerangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, perkara itu merupakan amalan biasa dalam sistem Parlimen negara-negara Komanwel yang membahagikan kedudukan kepada blok kerajaan dan blok pembangkang.
Menurut beliau, di Malaysia terdapat ahli Parlimen dan ADUN Bebas yang berhak menentukan sokongan masing-masing dalam Dewan.
"Jika seseorang wakil rakyat Bebas menyokong kerajaan maka kedudukannya di blok kerajaan dan begitu juga sebaliknya.
"Ia bukan semata-mata soal parti yang diwakili menentukan kedudukan kerusi dalam Dewan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berhubung kedudukan ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Zainol Fadzi yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi Bersatu berkata, pengalaman lalu membuktikan bahawa Speaker mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan susunan tempat duduk.
Katanya, pada April 2025, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika itu pernah menulis surat kepada Speaker Dewan Negeri Perak bagi memohon agar beliau dipindahkan daripada kedudukan kerusi sedia ada atas alasan bukan lagi Setiausaha Bersatu Perak.
"Bagaimanapun, Speaker tidak mengubah kedudukan tersebut kerana ia adalah kuasa Speaker dan bukan ditentukan oleh jawatan dalam parti.
"Sebaliknya, faktor seperti kedudukan sebagai Ketua Whip Dewan Negeri, senioriti sebagai ADUN serta peranan sebagai Exco Kerajaan Negeri turut dipertimbangkan dalam menentukan tempat duduk," jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelantikan Ketua Pembangkang atau Ketua Whip Pembangkang sepatutnya ditentukan dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang sendiri dan bukannya diputuskan semata-mata oleh kepimpinan parti dalam blok tersebut.
Menurutnya, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN kebetulan merupakan blok pembangkang yang memilih Ketua Pembangkang namun keputusan itu tetap boleh diputuskan oleh majoriti Ahli Parlimen dalam blok berkenaan.
"Dalam Dewan, syarat wajib adalah seseorang itu mesti ahli Parlimen atau ADUN. Mereka inilah yang memilih siapa menjadi Perdana Menteri dan siapa menjadi Ketua Pembangkang.
"Sebab itu hanya Akuan Bersumpah (SD) daripada ahli Parlimen yang diiktiraf dalam menentukan Perdana Menteri, bukannya daripada ketua penerangan parti," katanya.
Sehubungan itu, Zainol Fadzi yang turut dipecat Bersatu menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan tanpa memahami sistem pengurusan Dewan Rakyat sebagai tidak wajar dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Pada Isnin, media melaporkan Tun Faisal dalam satu kenyataan menegaskan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat daripada Bersatu kini secara rasmi bukan lagi ahli parti itu dan sepatutnya dikategorikan sebagai Ahli Parlimen Bebas di Dewan Rakyat.
Menurutnya, kedudukan itu bukan sahaja melibatkan timbalan presiden Bersatu itu, tetapi malah merangkumi lima lagi Ahli Parlimen yang telah dipecat daripada parti itu sebelum ini.
Jelasnya, berdasarkan Seksyen 9(1) Akta Lompat Parti 2022, sepatutnya mereka perlu dipindahkan ke blok bebas dan tidak lagi mewakili Bersatu dan PN.