PROSES membakar lemang secara tradisional biasanya mengambil masa sehingga tujuh jam, namun dengan menggunakan tong dram dan dapur gas, lemang boleh dinikmati dalam tempoh dua jam sahaja.
Menerusi kaedah itu, Nik Suhaimy Sulaiman, 42 dan isterinya, Yusmazetty Mohamed Yusof, 34, mampu menghasilkan sehingga 50 batang lemang dalam tempoh yang singkat.
"Memasak menggunakan cara tradisional perlu sentiasa menjaga api bagi memastikan tidak ada bahagian buluh yang rentung.
"Tapi kalau guna tong dram dan dapur gas kadar nyalaan api bersesuaian boleh ditetapkan dan lemang dimasak dengan lebih mudah dan cepat serta tanpa memerlukan masa lama,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Padang Perdana, Kuantan, Pahang baru-baru ini.
Menurutnya, kaedah memasak lemang ini diilhamkan oleh rakannya selepas merasakan perniagaan lemang boleh menjana pulangan sekiranya bijak melakukan inovasi.
Justeru, katanya, dia dan isterinya memulakan inisiatif berkenaan dengan mendapatkan segala peralatan diperlukan untuk merealisasikan idea tersebut.
Pada mulanya, Nik Suhaimy berkata, lemang diberikan secara percuma kepada penduduk kampung untuk melihat sejauh mana keberkesanan kaedah tersebut.
"Saya agihkan semua lemang yang dimasak menggunakan dapur gas dan tong dram kepada penduduk kampung untuk dapatkan maklum balas daripada mereka.
"Daripada situ saya itu saya mula menerima tempahan pengusaha hotel sekitar Kuantan pada setiap tahun,” katanya.
Guna tujuh tong dram
Nik Suhaimy yang menamakan perniagaan sebagai Lemang Viral 40 Hari berkata, dia menggunakan tujuh tong dram untuk membakar antara 40 hingga 50 lemang setiap hari.
"Alhamdulillah, permintaan daripada pelanggan setakat ini masih boleh dipenuhi dengan peralatan yang ada.
"Malah, bekalan buluh juga setakat ini mencukupi untuk memenuhi permintaan pelanggan pada setiap hari,” katanya.
Menurutnya, rasa lemang tong dan tradisional tidak banyak beza, namun ia lebih lembut dan berlemak.
"Ramai pelanggan yang suka katanya lembut, lebih lemak, tiada kerak dan paling penting isinya tidak rentung.
"Masakannya begitu sekata dan langsung tidak menjejaskan rasa lemang, meskipun kaedah memasaknya berbeza dengan tradisional,” katanya.
Walaupun tidak dapat membuka gerai susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ia tidak menghalang Nik Suhaimy untuk meneruskan perniagaan yang telah diusahakan sejak 2016 itu.
Katanya, dia dan isterinya itu menggunakan platform dalam talian dan kaedah bayaran tunai semasa serahan (COD) bagi memastikan pelanggannya terus menikmati Lemang Viral 40 Hari itu.
"Kami menjual lemang ini pada harga RM12 sebatang manakala caj penghantaran pula ialah antara RM2 hingga RM5 mengikut tempat dan jarak,” katanya.