SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Selangor (lokaliti Shah Alam) meneruskan acara tradisi tahunan dengan mengagihkan 2,500 pek bubur lambuk kepada masyarakat sekitar Seksyen 14 sempena Ramadan ini.
Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat KDEBWM, Ahmad Rizal Mohd Daud berkata, daripada jumlah itu, pihaknya menerima dua periuk bersamaan dengan 600 pek bubur lambuk untuk diedarkan.
Menurutnya, program yang turut mendapat kerjasama Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) bertujuan merapatkan ukhuwah bersama masyarakat.
"KDEBWM menyumbangkan RM4,000 kepada LHDN dan kakitangan kami juga terlibat dalam gotong-royong memasak bubur lambuk bagi menjayakan program yang memasuki tahun ketiga dilaksanakan.
"Daripada jumlah keseluruhan 2,500 pek bersamaan dengan tujuh periuk, sebanyak tiga periuk untuk LHDN Selangor manakala KDEBWM dan KPS masing-masing menerima dua periuk dengan anggaran 600 pek.
"Bubur lambuk ini seterusnya akan diagihkan kepada masyarakat sekitar termasuk surau berdekatan, warga kerja KDEBWM, KDEB ICI Sdn Bhd (KDEB ICI), Sinar Harian dan Media Selangor," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Bubur Lambuk Cinta Ramadan di Plaza Perangsang di sini pada Khamis.
Hadir sama, Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat KDEBWM, Mahfuzah Muhamad Tarmidi dan Pengarah Operasi Negeri Seksyen Audit Cukai Syarikat Selangor, Shahrul Niza Bishahrin.
Mengulas lanjut, Ahmad Rizal berkata, pihaknya memperuntukkan hampir RM1 juta setahun bagi melaksanakan pelbagai program CSR merangkumi aktiviti bersama masyarakat.
"Tumpuan lebih diberikan pada Ramadan yang mana kami ambil peluang melakukan CSR seperti program agihan bubur lambuk, berbuka puasa dan membeli kelengkapan raya kepada anak yatim serta memberi sumbangan.
"Kami beroperasi di Selangor, jadi banyak kawasan yang telah kami bantu dan mana-mana yang memerlukan sumbangan, kita berikan ikut kemampuan.
"Di kesempatan ini juga, sempena Ramadan dan menjelang Aidilfitri, saya menasihatkan seluruh masyarakat membuat pengasingan sampah dan meletakkan sampah di tempat betul mengikut jadual ditetapkan supaya kebersihan dapat dijaga," ujarnya.
Dalam pada itu, Shahrul Niza turut menzahirkan penghargaan kepada KDEBWN dan KPS kerana menjayakan program berkenaan dan berharap akan diteruskan pada masa depan.
"Alhamdulillah, acara tradisi tahunan ini dapat dijayakan untuk kita berkongsi rezeki bersama masyarakat sekitar Shah Alam serta warga kerja yang terlibat dan saya berharap kerjasama ini akan berterusan pada masa depan," katanya.