Iftar khas untuk si bujang jadi platform berkenal-kenalan

Iklan
Inisiatif 'Iftar With Dates' bantu golongan bujang mencari pasangan hidup, dengan mengutamakan keselamatan, adab, dan budaya. Foto Sinar Daily

SHAH ALAM - Di sebalik kemajuan dan perubahan gaya hidup masa kini, semakin ramai anak muda berdepan cabaran dalam mencari pasangan hidup.

Tekanan kewangan, tuntutan kerjaya serta persekitaran sosial yang semakin berbeza menjadi antara faktor utama yang menyebabkan masih ramai belum berkahwin walaupun telah melepasi usia yang sepatutnya.

Iklan
Iklan

Situasi ini mendorong pelbagai inisiatif diwujudkan bagi membantu mereka mencari pasangan yang sesuai, antaranya platform perkenalan dengan pendekatan yang lebih berstruktur, menjaga batas pergaulan serta menghormati nilai adab dan budaya.

Mengambil inisiatif untuk membantu, Sinar Daily menganjurkan 'Iftar With Dates', program berbuka puasa khas buat golongan bujang di Dataran Karangkraf baru-baru ini.

Iklan

Menurut Editor Sinar Daily, Tasnim Lokman, isu itu bukan sekadar cabaran individu tetapi berkait dengan kesediaan masyarakat menghadapi perubahan demografi.

"Antara isu terbesar yang kami perhatikan ialah kurangnya persediaan untuk menghadapi masyarakat menua menjelang 2030 dan 2040 dengan kadar perkahwinan dan kelahiran yang semakin menurun akan memberi kesan besar,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Iklan

Menurut SeaAsia Stats yang memetik kajian Divisyen Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada 2021 Malaysia berada di tempat ketiga dalam kalangan negara Asia Tenggara yang mempunyai paling ramai individu belum berkahwin, iaitu sebanyak 44.68 peratus daripada populasi.

Kajian berkenaan menurut SeaAsia Stats, berdasarkan data perkahwinan lebih 1.6 bilion individu bujang di seluruh dunia daripada 1970 hingga 2021.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia pula menunjukkan bilangan perkahwinan yang direkodkan pada 2023 pula menurun sebanyak 12.5 peratus kepada 188,100, berbanding 215,022 pada tahun sebelumnya. Kadar Perkahwinan Kasar juga menurun daripada 6.6 pada 2022 kepada 5.7 pada 2023 bagi setiap 1,000 penduduk.

Tasnim berkata, menerusi Iftar With Dates, pihaknya menitikberatkan aspek keselamatan, adab dan nilai budaya dalam proses perkenalan bagi memastikan interaksi yang lebih sopan, selesa dan menghormati batas peribadi masing-masing.

"Ramai orang ingin berkahwin, tetapi mereka tidak tahu bagaimana hendak mencari pasangan yang sesuai... menerusi program ini semuanya di bawah pemerhatian, diselia dan dirakam," katanya.

Bagi peserta program berkenaan Atikah Mohamad, 26, cabaran mencari pasangan lebih dipengaruhi peluang sosial yang semakin terhad selain kesibukan bekerja.

"Masa di universiti saya terlalu fokus pada pelajaran dan kerjaya, tapi bila menyedari rakan-rakan sudah berumah tangga, saya mula rasa perlu memperluas jaringan sosial dan perlu lebih proaktif dalam mencari pasangan,” katanya.

Senada, pemandu pelancong Syabil Nu’man Mohd Zain, 25, mengakui sifat malu dan kurang keyakinan diri sering menjadi penghalang untuk kebanyakan individu memulakan perkenalan secara spontan.

"Pekerjaan saya memberi peluang bertemu pelbagai orang setiap hari, namun interaksi lebih kepada profesional. Bila melibatkan soal peribadi, rasa segan itu tetap ada," katanya yang tertarik dengan inisiatif tersebut kerana mempunyai pengisian bermakna termasuk tazkirah.

Walaupun terdapat pelbagai platform dalam talian yang mempunyai matlamat serupa, Maizatul Nurmalina Mohamad Isa, 33, yang bekerja sebagai pegawai komunikasi, melihat aspek kepercayaan dan keselamatan menjadi cabaran utama dalam membina perhubungan.

"Dalam era digital ini, ramai yang berhati-hati kerana takut ditipu atau mengalami pengalaman buruk seperti ‘catfishing’,” katanya yang melihat perbezaan latar belakang dan jurang usia juga menjadi faktor.

Pengurus operasi automotif, Imran Hussein, 31, berpendapat antara cabaran utama yang dihadapi oleh lelaki dalam membina hubungan ialah persepsi terhadap status sosial dan kesukaran untuk mengenali individu baharu.

"Gaya hidup di Lembah Klang menjadikan pergaulan lebih kompleks, dan ramai lelaki berasa sukar untuk memulakan perkenalan... terdapat juga persepsi bahawa lelaki perlu stabil sepenuhnya sebelum melangkah ke alam perkahwinan,” katanya.

Selain perkenalan menerusi majlis buka puasa, terdapat pelbagai acara dengan tujuan sama dianjurkan oleh berbilang pihak seperti program larian ria,"potluck” dan permainan papan strategi seperti dam serta catur. - Bernama