KUALA LUMPUR – Jenama resipi dan masakan komuniti, RASA dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjayakan Program Bubur Lambuk Rewang Wira di Dataran Merdeka, pada Sabtu.
Program ini melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang berjaya menyiapkan kira-kira 8,000 pek bubur lambuk untuk diagihkan kepada orang ramai.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar berkata, penglibatan ATM dalam program ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya menunjukkan komitmen pasukan keselamatan untuk lebih dekat dengan rakyat.
"Kami mahu masyarakat melihat kami di luar kepompong biasa. Ini bukan sekadar aktiviti, tetapi usaha memasyarakatkan aspek keselamatan agar lebih difahami umum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir merasmikan program berkenaan yang berlangsung penuh meriah dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat.
Turut hadir Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Dr Zulhelmy Ithnain; Ketua Staf Markas Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Zaidan Atan (mewakili Panglima Tentera Darat) dan Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman.
Mohd Nizam berkata, mesej utama ATM menyertai program gotong-royong seperti itu adalah untuk dekat di hati masyarakat.
"Pada masa akan datang, ATM merancang program bersama Nu Ideaktiv yang melibatkan remaja, termasuk mereka yang sedang atau baru menyertai bidang ketenteraan.
"Kita mahu bidang ketenteraan ini dijadikan kerjaya utama untuk diceburi oleh golongan muda bukan lagi sebagai pilihan akhir,”ujarnya
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim menyifatkan kerjasama strategik ini sebagai pencapaian penting dalam usaha membawa impak positif kepada komuniti menerusi makanan dan tradisi.
Tahun ini, pek bubur lambuk diedarkan kepada masyarakat sekitar Kuala Lumpur termasuk hospital, masjid, bazar Ramadan, rumah kebajikan dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Antara lokasi pengagihan ialah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Institut Jantung Negara (IJN), Bazar Jalan Raja Alang, Pasar Seni, PPR Laksamana, PA Seri Selangor dan Bazar Jalan Kuching.
Inisiatif ini turut disokong oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta rakan media seperti Astro, Zayan dan Borak seeNI.
Tahun ini, Blackmores menyertai sebagai penaja utama baharu, dengan sokongan berterusan daripada FGV, Aji-Shio, Santan S&P, OKI, dan inDrive yang mengukuhkan lagi impak acara ini.
Menurut Syamil, inisiatif seperti ini akan terus diperluaskan dengan pelbagai kandungan melibatkan elemen kekeluargaan, remaja dan komuniti, sekaligus menjadikan Nu Ideaktiv sebagai platform perpaduan masyarakat.
"Rewang Wira tahun ini bukan sekadar membawakan rasa bubur lambuk yang sedap, malah mengangkat maruah dan jasa pasukan keselamatan negara melalui elemen tanggungjawab, maruah dan pengorbanan," ujarnya.