KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Parlimen pembangkang memulaukan Sidang Khas Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji di Dewan Rakyat disifatkan sebagai penghinaan terhadap amanah rakyat dan umat Islam.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, tindakan rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN), khususnya Pas dan Wawasan, yang memilih untuk meninggalkan sidang berkenaan amat mendukacitakan dan tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, Parlimen merupakan pentas tertinggi dan paling rasmi untuk Ahli Parlimen membahaskan, meneliti serta menuntut penjelasan berhubung isu kebajikan rakyat dan ketelusan institusi negara.
Muhammad Kamil turut mempersoalkan alasan pembangkang yang mendesak sidang ditangguhkan susulan ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani pemulihan kesihatan.
Menurutnya, ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menghalang fungsi Dewan Rakyat daripada berjalan.
Beliau berkata, pentadbiran negara beroperasi berasaskan prinsip kebertanggungjawaban kolektif dan ketidakhadiran Anwar tidak melumpuhkan fungsi Dewan.
“Jemaah Menteri adalah satu entiti. Sesebuah kerajaan memerintah berasaskan keputusan dan kebertanggungjawaban bersama Jemaah Menteri.
“Ketidakhadiran Perdana Menteri atas sebab kesihatan tidak pernah melumpuhkan fungsi Dewan, kerana Timbalan Perdana Menteri serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hadir secara rasmi mewakili seluruh barisan pentadbiran Kerajaan untuk memberi penerangan dan jawapan,” ujarnya.
Muhammad Kamil pada masa sama menegaskan Parlimen bukan pentas individu yang hanya boleh berfungsi apabila Perdana Menteri hadir.
“Pembangkang tidak sepatutnya merendah-rendahkan institusi Parlimen dengan menganggap persidangan ini seperti majlis peribadi yang tidak boleh berjalan tanpa kehadiran individu tertentu,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pembangkang keluar dewan, protes sidang khas RCI Tabung Haji
Keluar Dewan: Pembangkang tidak serius isu RCI Tabung Haji – Zaliha
Ahli Parlimen Bersatu tidak keluar dewan, mahu tempoh bahas RCI TH dipanjangkan
'Nak bahas saya atau Tabung Haji?' - Anwar
PM perlu hadir bahas RCI TH untuk jawab - Mohd Syahir
RCI TH: Rosol ibaratkan ketiadaan PM seperti pengantin tak datang majlis kahwin
'Ini bukan tatakelola, ini tatatekola' – Afnan dakwa kerajaan tidak serius tangani isu RCI TH
RCI TH: Kabinet setuju siasatan penuh serta-merta
Pasukan khas ditubuh laksana syor RCI, pinda Akta TH - Zulkifli
[VIDEO] 'Tiada aset TH dijual kepada golongan bukan Islam atau China' - Menteri Agama
Lima kali BNM beri amaran kepada TH, bimbang kesan bayaran agihan untung tinggi - Dr Zulkifli
Pendeposit TH tidak perlu bimbang, urusan zakat dilaksana ikut syarak - Dr Zulkifli
Parlimen bukan tempat penerangan sehala, RCI Tabung Haji perlu dibahas - PN
'Boikot perbahasan RCI Tabung Haji bercanggah semangat titah Agong' - Sheikh Umar
Beliau berkata, laporan RCI Tabung Haji merupakan isu nasional yang merentas kepimpinan dan membabitkan kepentingan jutaan pendeposit umat Islam.
Sehubungan itu, beliau menggesa pembangkang menggunakan ruang Parlimen untuk menjalankan fungsi semak dan imbang sekiranya terdapat kepincangan dalam pengurusan Tabung Haji.
Menurutnya, platform berkenaan adalah tempat terbaik untuk mengemukakan hujah, pembuktian dan cadangan penyelesaian, bukannya dengan memboikot atau meninggalkan sidang.
“Sikap bertindak keluar atau memulaukan sidang hanya memberi persepsi bahawa keutamaan parti politik tertentu lebih tinggi berbanding usaha memelihara kedudukan kewangan dan masa depan Tabung Haji.
Muhammad Kamil berkata, semua pihak perlu kembali kepada matlamat asal perjuangan demi rakyat dan tidak menjadikan perbezaan pandangan atau strategi politik sebagai alasan membelakangkan institusi Parlimen.
“Gunakan pentas Parlimen secara matang, berani, dan berintegriti. Jangan biarkan rakyat hilang kepercayaan terhadap kesungguhan kita dalam membela nasib mereka,” katanya.