KLANG - Tindakan seorang lelaki bermain mercun di tengah persimpangan lampu isyarat Jalan Tengku Kelana di sini, Ahad lalu mengundang padah apabila kini diburu polis.
Kejadian kira-kira jam 1 pagi pada 8 November itu turut membahayakan keselamatan orang ramai yang menggunakan laluan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan mendapati kejadian bermain mercun di tempat awam sehingga membahayakan keselamatan orang ramai itu berlaku kira-kira jam 1 pagi.
"Susulan itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana berkelakuan cuai dengan bahan mudah letupan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini tular video di media sosial memaparkan aksi seorang lelaki bermain mercun di tengah persimpangan di sini.
Jit Huey berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.
"Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.