PM perlu hadir bahas RCI TH untuk jawab - Mohd Syahir

Iklan
Mohd Syahir menegaskan Anwar perlu hadir dalam Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan RCI TH supaya persoalan berkaitan laporan berkenaan dapat dijawab secara langsung.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu hadir dalam Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) supaya persoalan berkaitan laporan berkenaan dapat dijawab secara langsung.

Tegas Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman, pembangkang sudah bersedia untuk membahaskan laporan berkenaan, namun mempersoalkan keperluan meneruskan sidang ketika Perdana Menteri tidak dapat hadir.

Iklan
Iklan

“Sidang hari ini hanya bersifat penerangan menteri, tiada sebarang usul, pendirian mahupun pengundian.

“Kita sudah bersedia. PM pula tidak dapat hadir. Pembangkang minta sidang ditangguhkan. Jika PM hadir, kita bahas, supaya ada tanggungjawab,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.

Iklan

Mohd Syahir berkata, isu RCI Tabung Haji penting dan sewajarnya diberikan ruang perbahasan yang membolehkan pihak berkaitan memberikan penjelasan serta bertanggungjawab terhadap perkara yang dibangkitkan.

Beliau turut mempersoalkan perbezaan proses pendedahan Laporan RCI Tabung Haji berbanding kebiasaan laporan RCI lain.

Iklan

“Laporan RCI biasanya dibentangkan di Parlimen terlebih dahulu untuk dibahaskan, kemudian didedahkan kepada umum namun laporan RCI Tabung Haji adalah berbeza, didedahkan lebih awal kepada umum, semasa Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan, kemudian baru dibentangkan di Parlimen,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : Pembangkang keluar dewan, protes sidang khas RCI Tabung Haji

Keluar Dewan: Pembangkang tidak serius isu RCI Tabung Haji – Zaliha

Ahli Parlimen Bersatu tidak keluar dewan, mahu tempoh bahas RCI TH dipanjangkan

'Nak bahas saya atau Tabung Haji?' - Anwar

Sehubungan itu, Mohd Syahir berpandangan nilai perbahasan di Dewan Rakyat perlu dilihat dalam konteks sejauh mana pihak berkaitan dapat memberikan jawapan terhadap persoalan yang dibangkitkan.

“Maka tiada beza berbahas di luar mahupun di dalam Dewan, melainkan jika YAB PM hadir untuk menjawab,” jelas beliau.

Sidang Khas Dewan Rakyat pada Selasa diadakan bagi membahaskan Laporan RCI berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Anwar sebelum ini memohon maaf kerana tidak dapat hadir dalam sidang khas berkenaan dan memaklumkan beliau akan mengikuti perbahasan secara dekat.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan beliau, Tunku Nashrul Abaidah, keadaan kesihatan Perdana Menteri semakin baik dan beliau akan meneruskan rawatan fisioterapi di bawah pemantauan pasukan pakar perubatan.