Selatan Global: Malaysia gesa multilateralisme lebih inklusif, adil

Iklan
Mohamad Hasan menghadiri Mesyuarat Tahunan ke-50 Menteri-Menteri Luar Negeri Kumpulan 77 dan China di Ibu Pejabat PBB di New York pada Sabtu. - FOTO: Bernama

NEW YORK - Malaysia menggesa pendekatan baharu terhadap multilateralisme yang berteraskan keterangkuman, keadilan dan akauntabiliti bagi Selatan Global, ketika dunia berdepan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak, konflik berterusan serta jurang ketidaksamaan yang semakin melebar.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata demikian ketika menyampaikan intervensi pada Mesyuarat Menteri-Menteri G77 dan China bertemakan"Selatan Global dan Masa Depan Multilateralisme” di sini pada Sabtu. 

Iklan
Iklan

Mohamad berada di New York dari 23 hingga 27 September bagi mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

"Kita bertemu ketika sistem multilateral berada di bawah tekanan yang besar. 

Iklan

"Ketegangan geopolitik semakin mendalam, konflik berterusan, ketidaksamaan semakin melebar dan kemajuan ke arah Matlamat Pembangunan Mampan masih terlalu perlahan,” kata beliau. 

Pada masa sama, beliau berkata, negara membangun terus berdepan kerangka kewangan dan ekonomi global yang tidak cukup berkesan dalam menangani cabaran semasa.

Iklan

"Cabaran ini tidak mengurangkan kepentingan multilateralisme. Sebaliknya, ia mengukuhkan lagi keperluan kita terhadapnya.

"Bagi Malaysia, persoalannya bukan sama ada multilateralisme masih relevan, tetapi bagaimana kita menjadikannya lebih representatif, saksama dan responsif terhadap keperluan semua negara,” kata beliau. 

Mohamad berkata, negara membangun perlu memainkan peranan bermakna dalam menentukan hala tuju masa depan bersama.

Menurut beliau, perkara itu memerlukan pembaharuan tadbir urus global, termasuk institusi kewangan antarabangsa, supaya lebih mencerminkan kepentingan dan realiti negara membangun.

"Oleh itu, Malaysia menggesa pembaharuan institusi kewangan antarabangsa, sistem perdagangan pelbagai hala yang lebih berkesan, tindakan iklim yang lebih kukuh serta peningkatan kerjasama dalam Sains, Teknologi dan Inovasi serta teknologi maklumat dan komunikasi, termasuk kecerdasan buatan generasi baharu, bagi memajukan Agenda 2030 dan menyokong Selatan Global,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa peranan utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu dikekalkan.

"Sebarang pembaharuan sistem PBB perlu mengukuhkan keupayaannya untuk memenuhi keperluan negara anggota, khususnya negara membangun, sambil terus berteraskan prinsip Piagam PBB, pemilikan nasional dan ciri PBB sebagai sebuah organisasi antara kerajaan,” kata beliau.

Mengenai kerjasama Selatan-Selatan, Mohamad berkata, negara-negara membangun telah membuktikan bahawa mereka bukan sekadar penerima penyelesaian pembangunan.

"Kita adalah rakan kongsi, inovator dan penyumbang atas keupayaan kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia kekal komited terhadap semangat solidariti itu menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

"Melalui pembangunan kapasiti, kerjasama teknikal dan perkongsian kepakaran, MTCP menyokong negara membangun lain serta menyumbang kepada matlamat lebih luas G77 dalam memperkukuh keupayaan berdikari dan kerjasama Selatan-Selatan,” kata beliau. 

Mohamad menjelaskan ketika negara-negara berdepan cabaran baharu termasuk perubahan iklim, pembiayaan pembangunan dan transformasi teknologi yang pesat, jurang baharu tidak seharusnya menggantikan jurang lama.

"Akses kepada pembiayaan, teknologi dan pembangunan kapasiti mesti terus menjadi teras agenda bersama kita,” katanya.

Beliau berkata, G77 dan China mempunyai tanggungjawab penting dalam usaha itu.

"Kepelbagaian kita amat besar, namun kekuatan kita sentiasa datang daripada solidariti serta tekad bersama untuk memperjuangkan kepentingan negara membangun. 

"Oleh itu, Malaysia menyokong pendekatan diperbaharui terhadap multilateralisme yang berteraskan keterangkuman, keadilan dan akauntabiliti,” kata beliau. - Bernama