KUALA LUMPUR – Pemilik berdaftar kenderaan diesel persendirian yang layak di bawah BUDI Diesel kini boleh memindahkan kelayakan berkenaan kepada individu yang benar-benar menggunakan kenderaan tersebut.
Penambahbaikan pemindahan kelayakan itu berkuat kuasa mulai 16 September 2026, membolehkan pemilik berdaftar memindahkan kelayakan kepada ahli keluarga, rakan atau individu lain yang merupakan pengguna sebenar kenderaan.
Setiap pengguna yang dinamakan mestilah merupakan warganegara Malaysia, mempunyai MyKad, mempunyai lesen memandu yang sah dan aktif serta layak menerima BUDI95.
Pemilik juga perlu memastikan individu yang dinamakan benar-benar merupakan pengguna sebenar kenderaan diesel berkenaan.
Sebelum ini, pemindahan kelayakan hanya dibenarkan kepada ahli keluarga terdekat.
Bagaimanapun, menerusi penambahbaikan terbaharu, kemudahan itu diperluaskan kepada pengguna sebenar kenderaan tanpa mengira hubungan dengan pemilik berdaftar.
Maksimum tiga kenderaan yang layak
Pemilik berdaftar yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel persendirian boleh memindahkan kelayakan berdasarkan jumlah kenderaan diesel yang didaftarkan, dengan had sehingga tiga individu lain.
Sebagai contoh, pemilik yang mempunyai beberapa kenderaan diesel boleh memindahkan kelayakan kenderaan yang ditetapkan kepada pengguna sebenar seperti ahli keluarga, rakan atau individu lain.
Pemilik berdaftar masih mengekalkan kelayakan bagi kenderaan yang tidak dipindahkan untuk kegunaan sendiri.
Walaupun kelayakan dipindahkan, hak milik kenderaan tidak berubah dan kekal atas nama pemilik berdaftar.
300 liter sebulan
Jumlah kelayakan yang boleh dipindahkan adalah berdasarkan jenis kenderaan.
Bagi kenderaan diesel biasa, kelayakan yang diberikan adalah sebanyak 300 liter sebulan.
Bagi kenderaan pikap atau jip yang layak, pemilik boleh memohon tambahan 100 liter sebelum pemindahan kelayakan dibuat, tertakluk kepada kelulusan permohonan.
Ini bermakna kenderaan pikap atau jip yang layak boleh mempunyai kelayakan sehingga 400 liter sebulan.
Pemindahan hanya sekali
Kelayakan BUDI Diesel bagi setiap kenderaan diesel persendirian individu hanya boleh dipindahkan sekali sahaja.
Kelayakan yang telah dipindahkan dan diluluskan tidak boleh dipindahkan semula, kecuali dalam keadaan khas yang ditetapkan.
Selain itu, seorang penerima hanya boleh menerima pemindahan kelayakan daripada seorang pemilik berdaftar.
Permohonan perlu dibuat lebih awal
Permohonan pemindahan kelayakan boleh dibuat mulai 16 September 2026 melalui portal rasmi BUDI MADANI.
Pemilik berdaftar perlu mengemukakan permohonan selewat-lewatnya pada 27 haribulan bagi membolehkan kelayakan tersebut digunakan mulai 1 haribulan bulan berikutnya, tertakluk kepada proses semakan dan pengesahan.
Sebagai contoh, permohonan yang dibuat selewat-lewatnya pada 27 September 2026 membolehkan kelayakan digunakan mulai 1 Oktober 2026, tertakluk kepada semakan dan pengesahan.
Permohonan boleh dibuat melalui www.budimadani.gov.my
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pemindahan kelayakan BUDI Diesel melalui portal berkenaan atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan BUDI MADANI di talian 1300-88-9595.