Ayob Khan pilih jadi negarawan, tak minat sertai politik

Iklan
Ayob Khan ketika istiadat perbarisan paluan berundur Timbalan Ketua Polis Negara di Pulapol Kuala Lumpur pada Ahad. - Foto: Rosli Talib

KUALA LUMPUR - Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan dirinya tidak berminat untuk menceburi politik selepas menamatkan perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, urusan politik sewajarnya diserahkan kepada ahli politik, malah mengakui dirinya bukan seorang ahli pidato atau ahli politik.

Iklan
Iklan

ARTIKREL BERKAITAN: Keberanian sebenar adalah mempertahankan kebenaran - Ayob Khan

'Jangan khianati amanah' - Ayob Khan

Iklan

'Ayob Khan buktikan kewibawaannya' - KPN

"Apa beza negarawan dengan ahli politik? Ahli politik memikirkan lima tahun lagi untuk kekal, tetapi negarawan memikirkan 20 tahun akan datang," katanya dalam sidang akhbar Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini pada Ahad.

Iklan

Tempat Ayob Khan akan dipangku oleh Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Ibrahim Darus.

Mengulas dakwaan campur tangan politik sepanjang kerjayanya, Ayob Khan menyifatkan soalan itu sebagai sensitif.

Beliau bagaimanapun memberi contoh tindakannya ketika mengetuai Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas pada 2019.

Kata beliau, ketika itu pihaknya menahan sekumpulan individu yang disyaki terbabit dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti kerajaan ketika itu.

"Saya tangkap juga. Adakah itu menunjukkan ada campur tangan politik? Tiada. Kalau melintasi garisan tidak kira siapa pun. kalau saya.. saya akan tangkap," katanya.

Menurut beliau, sekiranya Malaysia mahu memiliki pasukan polis bertaraf dunia (world class policing), polis perlu diberi ruang untuk menguatkuasakan undang-undang secara bebas tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu.

"Kita tidak kira sesiapa, parti kerajaan atau parti pembangkang. Kalau melintasi garisan undang-undang, tangkap. Barulah orang hormat kepada pasukan polis," katanya.

Dalam pada itu, Ayob Khan turut mengulangi pendiriannya berhubung pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dengan menyatakan beliau sebelum ini tidak bersetuju akta berkenaan dimansuhkan.

"Bila saya cakap pasal ISA ramai yang tak selesa. Yang dah dibubarkan, bubarlah tetapi kalau tanya saya, tidak ada asas untuk dibubarkan," katanya.