Bakar mercun tengah jalan: 4 lelaki ditahan, 3 lagi diburu

Iklan
Polis giat mengesan tiga lagi individu yang dipercayai turut terbabit kejadian membakar mercun di tengah jalan raya di Taman Nesa, Skudai.

JOHOR BAHRU – Empat lelaki warga tempatan berusia antara 16 hingga 25 tahun ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kejadian membakar mercun di atas jalan raya berhampiran lampu isyarat Taman Nesa, Skudai.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Azrol Anuar Nor berkata, kesemua suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah pada kira-kira jam 7.30 malam pada Ahad.

Iklan
Iklan

"Tangkapan itu dilakukan susulan penularan rakaman video kejadian berkenaan di media sosial pada tarikh sama.

"Hasil semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing mereka juga didapati negatif," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Johor Bahru pada Selasa dan direman selama tiga hari hingga 11 November bagi membantu siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai membabitkan bahan letupan sehingga membahayakan nyawa atau berisiko menyebabkan kecederaan kepada orang lain.

Iklan

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga enam bulan atau didenda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memberhentikan kenderaan sehingga menyebabkan bahaya, halangan atau kesusahan kepada pengguna jalan raya lain.

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau dipenjara tidak kurang setahun atau kedua-duanya sekali," jelasnya.

Dalam pada itu, polis sedang mengesan tiga lagi individu yang dipercayai turut terbabit dalam kejadian berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Hotline IPD Johor Bahru Utara di talian 07-5563122 bagi membantu siasatan.

Pada Ahad, polis mengesan satu rakaman video berdurasi kira-kira 50 saat yang tular di media sosial memaparkan sekumpulan lelaki membakar mercun di tengah jalan raya berhampiran lampu isyarat Taman Nesa.

Polis sebelum itu telah ke lokasi kira-kira jam 1.45 pagi selepas mengesan video berkenaan, namun kumpulan lelaki terbabit sudah beredar.