Lelaki OKU mental lari selepas gagal padam kebakaran rumah

Iklan
Ahli keluarga melihat sisa rumah yang terbakar dalam kejadian di Semut Api, Pantai Cahaya Bulan (PCB) pada Isnin. - Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – Seorang lelaki yang mengalami masalah kesihatan mental bertindak menyelamatkan diri selepas gagal memadam kebakaran yang memusnahkan rumahnya di Semut Api, Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini pada Isnin.

Lelaki berusia 45 tahun itu dikatakan melarikan diri selepas melihat api semakin marak dan memusnahkan rumah kayu pusaka berusia lebih 50 tahun berkenaan.

Iklan
Iklan

Kakaknya, Norma Ismail, 56, berkata, dia yang tinggal di rumah bersebelahan pada mulanya melihat adik bongsunya itu memunggah air sebelum bertanyakan tujuan tindakannya.

"Dia beritahu mahu menyiram najis kambing.

Iklan

"Saya tidak mengesyaki apa-apa sebelum jiran di hadapan rumah datang memaklumkan bahawa rumah itu terbakar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Pihak Tenaga Nasional Berhad memeriksa wayar bekalan elektrik di lokasi kebakaran. - Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Iklan

Menurut Norma, dia bergegas keluar untuk melihat keadaan dan terdengar beberapa letupan kecil, manakala api ketika itu sudah marak di bahagian dapur rumah.

"Bapa saya yang berusia 81 tahun panik dan cuba mengambil hos untuk menyiram air, tetapi kami menghalangnya kerana api sudah terlalu marak.

"Kami berusaha membuka pintu kandang bagi melepaskan 10 ekor kambing supaya tidak terperangkap dalam kebakaran," katanya.

Norma berkata, adiknya telah 15 tahun mengalami masalah kesihatan mental dan memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU), selain mempunyai tabiat merokok.

"Dia seorang yang suka membersihkan kawasan rumah.

"Dia memang selalu membakar sampah, tetapi saya tidak pasti bagaimana kebakaran ini boleh berlaku," katanya.

Kebakaran yang menghanguskan sebuah rumah di PCB pada Isnin  - Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Menurutnya, ibu bapanya, Nik Mas Nik Mahmood, 82, dan Ismail Yen, 81, sebelum ini tinggal di rumah berkenaan bersama adiknya sebelum berpindah ke rumahnya yang terletak bersebelahan sejak empat bulan lalu.

Tambah Norma, dia sepatutnya kembali ke Gombak pada Selasa selepas mengambil cuti selama sebulan seperti kebiasaannya pada penghujung tahun.

"Memang saya tidak sangka perkara ini berlaku. Saya bercadang pulang esok, tetapi hari ini rumah pula terbakar," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Engku Mohd Azam Engku Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.12 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal kira-kira 20 minit kemudian dan operasi pemadaman tamat lebih sejam selepas itu.

"Kami masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta anggaran jumlah kerugian," katanya.