KUALA LANGAT - [DIKEMAS KINI] Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan cuba membunuh rakannya dalam kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah di Banting di sini.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh juvana itu sementara menunggu laporan penilaian psikiatri gadis itu.
Prosiding secara tertutup di hadapan Majistret, Maslinda Selamat berkenaan, turut disertai ahli keluarga tertuduh.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan, supaya remaja yang memakai baju berhud hitam itu menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Mengikut pertuduhan, pelajar tingkatan tiga itu didakwa cuba membunuh pelajar perempuan berusia 15 tahun dengan menggunakan pisau sehingga menyebabkan kecederaan serta mempunyai niat untuk menyebabkan kematian.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekolah berkenaan jam 9.50 pagi pada 6 Julai.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Syafiq Yazid bersetuju sekiranya remaja yang dilaporkan menghidap autisme itu, menjalani pemeriksaan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Mahkamah menetapkan sebutan semula pada 11 Ogos depan.
Pihak media yang tiba lebih awal, tidak dibenarkan masuk ke mahkamah untuk mengikut prosiding pendakwaan memandangkan kes berkenaan melibatkan tertuduh juvana.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun cedera selepas dipercayai ditikam sebanyak 16 kali menggunakan pisau oleh rakan sekolahnya di kantin sekolah ketika waktu rehat.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk paru-paru dan kini menerima rawatan di hospital.