PERJANJIAN bekalan minyak dan gas jangka panjang dengan Rusia berpotensi menjadi benteng awal terhadap risiko kenaikan tarif elektrik, selain menstabilkan kos operasi dan perbelanjaan isi rumah.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sektor utiliti dan penjanaan elektrik dijangka menerima manfaat terbesar sekiranya perjanjian tersebut berjaya dimeterai kerana kos bahan api merupakan komponen utama dalam penjanaan tenaga.
Menurutnya, bekalan tenaga yang lebih stabil boleh membantu mengurangkan kejutan tarif kepada industri dan pengguna.
"Jika harga kontrak lebih stabil berbanding harga pasaran global, bil elektrik, kos pengangkutan dan input kilang akan turun atau stabil.
"Ini juga berpotensi mengurangkan beban subsidi bahan api dan elektrik kerajaan, sekali gus memberi lebih ruang kepada kedudukan fiskal negara.
"Kos bahan api merupakan komponen terbesar iaitu 60 hingga 70 peratus kos penjanaan elektrik. Bekalan tenaga yang lebih stabil boleh membantu mengurangkan kejutan tarif kepada industri dan pengguna," katanya kepada Sinar Bisnes.
Beliau mengulas impak jaminan kerjasama jangka panjang bekalan tenaga dan minyak yang diberikan Rusia bersama Malaysia sebagai sebahagian hubungan strategik pelbagai bidang antara kedua-dua negara.
Komitmen berkenaan dicapai menerusi pertemuan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Kazan, Rusia pada Jumaat.
Dalam masa sama beliau berkata, menerusi kerjasama tersebut, Malaysia memperoleh manfaat besar dalam meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa serta berpotensi membuka ruang kepada kerjasama lebih luas seperti pelaburan bersama dalam sektor tenaga, penggunaan mata wang tempatan dalam urusan perdagangan dan pemindahan teknologi berkaitan minyak dan gas.
Ini kerana, pelabur asing tidak hanya mencari negara yang menawarkan tenaga paling murah, sebaliknya mereka lebih mengutamakan kestabilan harga dan bekalan dalam tempoh panjang.
"Manfaat tersebut adalah dari segi kepastian kos dan perancangan pelaburan. Pelabur FDI, kilang, pusat data datang ke Malaysia bukan sebab gas paling murah dunia, tapi sebab kos boleh diramal lima tahun ke depan. Itu kurangkan 'risk premium' Malaysia," katanya.
Risiko geopolitik bayangi kerjasama
Bagaimanapun beliau berkata, langkah memperkukuh kerjasama tenaga dengan Rusia memerlukan pertimbangan teliti memandangkan sekatan antarabangsa masih dikenakan ke atas negara tersebut terutama melibatkan urusan pembayaran, insurans dan logistik.
Jelas beliau, situasi tersebut boleh memberi kesan kepada institusi kewangan, syarikat perkapalan dan pihak yang terlibat dalam rantaian bekalan sekiranya transaksi tidak diuruskan dengan teliti.
"Rusia masih berdepan sekatan daripada Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom (UK). Bank-bank di Malaysia, syarikat insurans perkapalan serta syarikat penghantaran boleh terkesan sekiranya urus niaga melibatkan sistem pembayaran dalam dolar Amerika Syarikat (USD) dan SWIFT. Risiko yang perlu diberi perhatian ialah kemungkinan berlaku kelewatan pembayaran atau kos insurans yang lebih tinggi.
"Pada masa sama, dana berteraskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta pelabur Barat juga sensitif terhadap isu geopolitik. Jika Malaysia dilihat terlalu rapat dengan Rusia, terdapat kemungkinan sebahagian dana asing menarik keluar pelaburan mereka daripada Bursa Malaysia," katanya.
Aimi menambah, risiko lain yang perlu dinilai ialah kemungkinan Malaysia terikat dengan kontrak jangka panjang yang kurang kompetitif sekiranya harga tenaga global mengalami penurunan ketara pada masa hadapan.
Selain itu katanya, bekalan dari Rusia memerlukan laluan penghantaran yang lebih jauh dan kompleks, sekali gus meningkatkan risiko kelewatan serta kos penghantaran.
"Kontrak 15 hingga 20 tahun mudah jadi mahal jika harga gas global jatuh struktur disebabkan tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen yang semakin murah.
"Selain itu, syarat 'take-or-pay' yang terlalu ketat boleh menyebabkan negara tetap perlu membuat bayaran walaupun bekalan tersebut tidak digunakan sepenuhnya.
"Pada masa sama, laluan penghantaran bekalan dari Rusia adalah lebih jauh dan kompleks kerana memerlukan kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) yang sesuai untuk operasi di kawasan berais, perlindungan insurans khas serta berdepan risiko cuaca ekstrem. Keadaan ini boleh meningkatkan risiko kelewatan penghantaran dan penalti berkaitan kontrak," katanya.
Syor syarat perjanjian
Justeru, beliau berpandangan, perjanjian tersebut berbaloi untuk Malaysia sekiranya kontrak yang dimeterai mempunyai mekanisme harga yang seimbang seperti had harga minimum dan maksimum serta formula hibrid, dan bukannya bergantung sepenuhnya kepada indeks harga minyak.
Katanya, kontrak tersebut perlu mempunyai fleksibiliti dari segi jumlah bekalan, termasuk julat antara 80 hingga 120 peratus mengikut keperluan semasa serta syarat destinasi yang tidak terlalu ketat.
"Selain itu, urusan pembayaran dan insurans perlu diselesaikan tanpa mendedahkan institusi kewangan Malaysia kepada risiko sekatan antarabangsa, termasuk dengan memanfaatkan platform dan kerjasama ekonomi dalam kalangan negara BRICS.
"Bagaimanapun, Rusia tidak seharusnya menjadi satu-satunya sumber bekalan tenaga negara. Malaysia masih perlu mengekalkan kepelbagaian sumber melalui import gas asli cecair (LNG) dari Qatar, Australia dan Amerika Syarikat, di samping mengukuhkan bekalan gas domestik serta pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
"Pergantungan kepada satu negara juga tidak sepatutnya melebihi sekitar 30 hingga 40 peratus daripada keseluruhan portfolio bekalan tenaga negara," katanya.