RWG, Agoda perkukuh kerjasama strategik tingkat pengalaman pelancongan digital

Iklan
Fabian (kiri) dan Spencer (kanan) menunjukkan MoU selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut yang menandakan lembaran baharu kerjasama antara kedua-dua organisasi.

RESORTS World Genting (RWG) dan Agoda memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang keterhubungan digital, pemasaran pelancongan dan inovasi pengalaman perjalanan.

Kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk mempertingkat pengalaman pelancong menerusi integrasi teknologi lebih lancar, inisiatif pemasaran strategik dan akses lebih mudah kepada produk serta perkhidmatan pelancongan bagi pasaran domestik dan antarabangsa.

Iklan
Iklan

Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG, Spencer Lee berkata, kerjasama itu merupakan langkah penting dalam memperluaskan capaian digital RWG serta mengukuhkan hubungan dengan pelancong di seluruh dunia.

"Kerjasama dengan Agoda ini mencerminkan komitmen berterusan kami untuk meningkatkan aksesibiliti, kemudahan dan nilai kepada para tetamu menerusi inovasi digital serta perkongsian strategik.

Iklan

"Dengan integrasi Application Programming Interface (API) langsung yang kini telah dilaksanakan, kami berupaya menawarkan pengalaman tempahan lebih lancar dan memperkukuh keterlihatan portfolio resort kami kepada jutaan pengguna Agoda di seluruh dunia," katanya.

Sementara itu, Pengarah Negara Agoda bagi Malaysia dan Brunei, Fabian Teja berkata, pihak mereka berbesar hati untuk memperkukuh kerjasama dengan RWG menerusi integrasi berkenaan.

Iklan

Fabian (lima kiri) dan Spencer (lima, kanan) pada majlis menandatangani MoU yang menandakan kerjasama strategik antara Agoda dan RWG bagi memperkukuh keterhubungan digital, pemasaran pelancongan serta inovasi pengalaman perjalanan.

Menurut beliau, kerjasama tersebut merupakan satu langkah penting dalam mempertingkat keterhubungan digital serta kemudahan kepada pelancong.

"Dengan memanfaatkan capaian serantau dan global Agoda dan portfolio hospitaliti Genting Malaysia Berhad yang kukuh, kami dapat memperluaskan keterlihatan, menawarkan produk pelancongan lebih relevan dan menyokong aspirasi pelancongan negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026," ujarnya lagi.

Antara komponen utama kerjasama termasuklah pelaksanaan integrasi API secara langsung antara Genting Malaysia Berhad (GENM) dan Agoda.

Ia membolehkan keterhubungan sistem lebih efisien dan pengalaman tempahan hotel yang lebih lancar merentasi portfolio hospitaliti GENM iaitu RWG, Resorts World Awana, Resorts World Kijal dan Resorts World Langkawi.

Melalui integrasi itu, pengguna Agoda akan menikmati akses lebih pantas kepada inventori bilik, tawaran promosi, pakej pelancongan dan maklumat ketersediaan masa nyata di hartanah-hartanah GENM, sekali gus memperkukuh ekosistem hospitaliti digital RWG.

Kerjasama turut diperluaskan kepada beberapa tarikan terpilih termasuk Taman Tema Genting SkyWorlds dan Eufloria Gardens & Sculpture Park, membolehkan pelancong menikmati pengalaman tempahan lebih menyeluruh merangkumi penginapan dan tarikan pelancongan.

Selain itu, kedua-dua pihak akan melaksanakan pelbagai kempen pemasaran bersama, promosi digital serta tawaran pelancongan yang disesuaikan bagi merangsang ketibaan pelancong dan memperkayakan pengalaman pengunjung.

Inisiatif itu termasuk pembangunan pakej penginapan dan percutian yang dirangka khusus mengikut keperluan pasaran serantau serta kecenderungan pelancong.

Kerjasama berkenaan selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dan menyokong usaha Tourism Malaysia dalam memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.

Dengan memanfaatkan capaian antarabangsa Agoda yang meluas serta kekuatan platform digitalnya, kerjasama tersebut dijangka dapat meningkatkan keterlihatan Malaysia dalam kalangan pelancong serantau dan global.

MoU itu turut mencerminkan hasrat kedua-dua pihak untuk meneroka peluang kerjasama yang lebih luas pada masa hadapan dalam bidang promosi pelancongan, inovasi pemasaran digital serta inisiatif penglibatan pelanggan.