SHAH ALAM - Seramai 10 individu memenangi perjalanan ERL percuma selama setahun menerusi Kempen Belanja dan Menang Bank Islam sempena cuti persekolahan dan musim percutian hujung tahun yang berlangsung dari 1 September hingga 31 Disember 2025.
Mereka terdiri daripada Husna Izzati Md Zain; Adam Shafiq Shukri, K Navamugunthan; Muhammad Ashraf Ansar Ahmad Khan dan Aliza Md Hanif.
Selain itu, Norazila Mohd Yasin; Siti Noor Najibah Lockman; Aidatul Shima Ahmad; Rina Ali Amat dan Muzzafar Mohamad.
Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dalam satu kenyataan berkata, majlis penyampaian hadiah yang dianjurkan baru-baru ini di Kuala Lumpur menjadi satu pencapaian dalam usaha berterusan bank untuk mempertingkatkan pengalaman pelanggan melalui ganjaran yang bermakna.
"Hadiah tersebut adalah sebagai penghargaan atas penggunaan kad Bank Islam berterusan bagi perkhidmatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Ekspres dan KLIA Transit," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah kenyataan itu, Bank Islam terus menyediakan kemudahan dan nilai tambah lebih baik kepada para pelanggan menerusi kerjasamanya dengan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL).
Jelasnya, sejak tahun 2019, kerjasama ini telah berkembang menjadi satu penawaran popular dalam kalangan pemegang Kad Kredit-i dan Kad Debit-i Bank Islam yang menikmati penjimatan sebanyak 20 peratus bagi tiket ERL.
"ERL, menerusi perkhidmatan utamanya KLIA Ekspres menyediakan rangkaian rel berkelajuan tinggi premium yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan KLIA, menyediakan perjalanan ke lapangan terbang yang senang, terus dan pantas.
"Kerjasama ini telah mencatatkan momentum yang memberangsangkan dengan perbelanjaan menggunakan kad di ERL meningkat sebanyak 63 peratus pada tahun 2024 dan 36 peratus pada tahun 2025.
"Jumlah transaksi pula meningkat sebanyak 75 peratus dan 31 peratus masing-masing, dalam tempoh sama," ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Perniagaan (Perbankan Runcit Bank Islam) Mizan Masram berkata, selain pertumbuhan perniagaan, kerjasama tersebut menyokong pengalaman perjalanan tanpa tunai yang lebih lancar untuk orang ramai.
"Melalui kerjasama ini, kami menggalakkan pelanggan untuk terus menggunakan kad Bank Islam mereka bersama ERL dan menikmati penjimatan serta ganjaran yang ditawarkan.
"Berdasarkan momentum positif ini, Bank Islam menjangkakan pertumbuhan berterusan hasil kerjasamanya dengan ERL, dengan unjuran peningkatan jumlah nilai transaksi sebanyak 10peratus menjelang akhir tahun 2026," ujarnya.