AJINOMOTO (Malaysia) Berhad (AMB) bakal diswastakan oleh syarikat induknya dari Jepun, Ajinomoto Co Inc (AJICO), menerusi cadangan pelaksanaan pengurangan modal secara terpilih dan pembayaran balik modal (SCR) bernilai kira-kira RM603.4 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin, AMB berkata, lembaga pengarahnya menerima surat daripada Ajico yang memaklumkan mengenai cadangan tersebut.
Di bawah cadangan berkenaan, Ajico bercadang membayar kira-kira RM603.4 juta atau RM20 sesaham kepada semua pemegang saham selain syarikat induk tersebut.
Pemegang saham minoriti yang layak merangkumi pemegang 30.17 juta saham AMB, bersamaan 49.62 peratus daripada jumlah saham terbitan syarikat.
Bagi membolehkan pelaksanaan cadangan itu, Ajico turut mencadangkan terbitan bonus sebanyak 571.1 juta saham baharu dengan menggunakan RM571.1 juta daripada perolehan tertahan syarikat.
Langkah tersebut dijangka meningkatkan modal saham terbitan AMB ke tahap yang mencukupi sebelum cadangan SCR dilaksanakan.
Ajico turut memaklumkan, syarikat tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian Ajinomoto Malaysia di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Menjelaskan rasional cadangan SCR itu, Ajico berkata, langkah tersebut memberi peluang kepada pemegang saham minoriti untuk menjual dan merealisasikan pelaburan mereka dalam Ajinomoto Malaysia.
Syarikat itu turut menyatakan bahawa kecairan dagangan saham Ajinomoto Malaysia yang rendah sejak sekian lama menjadi antara faktor utama cadangan tersebut.
Dalam tempoh lima tahun lalu, purata volum dagangan harian saham syarikat itu hanyalah sekitar 38,715 saham.
Purata volum dagangan harian tersebut hanya mewakili kira-kira 0.13 peratus daripada pegangan saham bebas Ajinomoto Malaysia yang melebihi 30 juta saham setakat 15 Jun lalu.
Menurut Ajico, syarikat itu menerima manfaat yang minimum daripada status penyenaraian itu berikutan AMB tidak menjalankan sebarang aktiviti pengumpulan dana ekuiti daripada pasaran modal selama lebih 10 tahun.
"Dalam hal ini, cadangan SCR akan memberikan fleksibiliti yang lebih besar kepada Ajinomoto Malaysia untuk mencapai objektif perniagaannya serta meningkatkan kecekapan operasi.
"Ini termasuk melalui penyelarasan dan pemudahan struktur korporat tanpa perlu memperuntukkan masa serta sumber pengurusan untuk memenuhi keperluan kawal selia, termasuk keperluan pendedahan dan pelaporan berterusan, atau menanggung kos yang berkaitan dengan pengekalan status syarikat tersenarai di Bursa Securities," katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan media berasingan, Ajico berkata, syarikat itu berhasrat memperkukuh dan mengembangkan portfolio perniagaannya di setiap rantau global bagi merealisasikan Pelan Hala Tuju Inisiatif ASV Jangka Sederhana 2030.
“Melalui inisiatif ini, Ajico akan terus memperkukuh kerjasama di seluruh kumpulan, berusaha meningkatkan nilai korporat secara mampan melalui perniagaan yang dibina berasaskan kekuatan AminoScience serta memenuhi tujuan syarikat untuk menyumbang kepada kesejahteraan manusia, masyarakat," katanya.
Ajinomoto Malaysia ditubuhkan di Malaysia pada Julai 1961 dan menggunakan nama semasanya selepas ditukar kepada syarikat awam pada tahun 1968.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, keuntungan bersih syarikat meningkat 43.9 peratus kepada RM71.45 juta berbanding tahun sebelumnya, manakala hasil meningkat 3.8 peratus kepada RM710.21 juta.