KOPERASI Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad (KOPSYA) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi kewangan koperasi yang diyakini apabila mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM12.7 juta bagi tahun kewangan 2025.
Pencapaian tertinggi dalam sejarah KOPSYA itu diumumkan oleh Pengerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah yang turut merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) kali ke-12 KOPSYA di Auditorium Angkasa, di sini.
Abdul Fattah berkata, kejayaan tersebut disifatkan sebagai bukti bahawa institusi milik anggota mampu mencapai prestasi cemerlang apabila diurus berlandaskan prinsip amanah, integriti dan tadbir urus baik.
Menurut beliau, ia juga penanda aras bahawa prinsip koperasi dan profesionalisme boleh bergerak seiring, sekali gus membuktikan institusi milik anggota mampu bersaing serta mencapai prestasi cemerlang.
“Sehingga kini, KOPSYA meluluskan RM1.3 bilion dengan pengeluaran pembiayaan sebanyak RM874 juta kepada koperasi anggota dalam pelbagai sektor ekonomi termasuk hartanah, perladangan, peruncitan dan kredit.
"Mesyuarat agung kali ini turut mencatat sejarah apabila merekodkan kehadiran tertinggi sejak penubuhannya dengan penyertaan seramai 1,169 perwakilan, terdiri daripada 397 perwakilan hadir fizikal dan 772 perwakilan secara dalam talian.
"Kehadiran ini mencerminkan keyakinan berterusan koperasi anggota terhadap peranan KOPSYA sebagai institusi pembiayaan koperasi yang dipercayai,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Abdul Fattah berpandangan, usaha KOPSYA meneroka pasaran modal Islam melalui penerbitan sukuk turut menunjukkan perkembangan positif apabila aset pembiayaan bernilai RM100 juta berjaya dilengkapkan dan dikemukakan kepada pihak berkaitan untuk penilaian seterusnya.
Jelasnya, langkah tersebut dijangka membuka ruang kepada sumber pembiayaan yang lebih besar dan mampan bagi menyokong pertumbuhan koperasi anggota pada masa hadapan.
Tambah beliau, KOPSYA juga terus memperluaskan akses kepada perkhidmatan kewangan Islam melalui pembukaan cawangan pertama KOPSYA Ar-Rahnu di Saujana Utama, Sungai Buloh yang mula beroperasi pada November tahun lalu.
"Susulan sambutan yang menggalakkan, KOPSYA kini dalam proses mengenal pasti lokasi strategik bagi pembukaan cawangan kedua," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Abdul Fattah berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Pengerusi KOPSYA selepas dipilih semula menerusi Mesyuarat Lembaga Khas dengan meraih 1,092 undian manakala Datuk Mohd Jamil Othman kekal Timbalan Pengerusi (967 undian).
Mengangkat tema 'KOPSYA Memayungi Masa Depan: Dari Koperasi, Untuk Koperasi, Kepada Koperasi', mesyuarat kali ini menekankan semangat kebersamaan dan konsep ta'awun yang menjadi asas kekuatan gerakan koperasi.
Tema tersebut menggambarkan komitmen KOPSYA dalam menyediakan perlindungan, sokongan dan peluang pembangunan kepada koperasi anggota melalui pelbagai kemudahan pembiayaan serta perkhidmatan kewangan Islam.