KUALA LUMPUR – Pembelaan bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), memohon Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, menangguhkan pendengaran rayuan selepas eksibit, nota keterangan dan alasan penghakiman perbicaraan setebal 4,000 muka surat hanya diterima pada 4 Jun lalu.
Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Otman Arsahd, 67, selaku perayu berkata, pihaknya memerlukan masa untuk meneliti dokumen berkenaan sebelum rayuan dapat diteruskan.
Menurutnya, rayuan itu membabitkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM284.2 juta yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen di sini pada Julai 2023, selepas Otman didapati bersalah atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu serta 64 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA).
“Saya mohon prosiding yang dijadualkan bermula hari ini ditetapkan ke tarikh lain seawal mungkin, iaitu pada September depan.
“Bagi tujuan ini, pembelaan telah menghantar dua surat permohonan penangguhan kepada mahkamah pada 14 dan 19 Jun lalu,” katanya pada prosiding di hadapan Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin.
Noor Ruwena kemudian mengingatkan supaya tiada lagi permohonan penangguhan dibuat memandangkan tarikh prosiding berkenaan telah dipersetujui semua pihak semasa pengurusan kes terdahulu.
“Demi kepentingan perayu, rayuan perlu didengar tepat pada masanya kerana kes ini didaftarkan pada Julai 2023.
“Saya tidak mahu, mahkamah dikatakan bersikap tidak prihatin,” kata hakim yang kemudiannya menetapkan 28 Ogos untuk pemfailan hujahan bertulis oleh perayu manakala rayuan itu didengar pada 21 hingga 23 September depan.
Dalam prosiding tersebut, pihak pendakwaan selaku responden bagi pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh dan Haresh Prakash Somiah, manakala bagi kes AMLA diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul.
Pada 6 Julai 2023, Otman dihukum penjara selama 15 tahun dan didenda RM284.2 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu serta 64 tuduhan pengubahan wang haram.
Hakim, Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Bagi 17 kesalahan membabitkan tuntutan palsu, mahkamah memerintahkan Otman dipenjara berjumlah 243 tahun dan didenda RM190 juta atau dipenjara 119 bulan, sekiranya gagal membayar denda manakala bagi 15 tuduhan salah guna kedudukan, lelaki itu dipenjara 85 tahun dan didenda RM10.8 juta atau dipenjara 125 bulan, sekiranya denda gagal dibayar.
Sementara itu, bagi 64 pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram, mahkamah memerintahkan Otman dipenjara antara tiga bulan dan 11 tahun dan didenda berjumlah RM83.4 juta atau dipenjara 934 bulan, sekiranya denda gagal dibayar.
Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan secara serentak bermula hari ini, menjadikannya selama 15 tahun.
Hakim itu juga membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman denda dan penjara itu dengan syarat wang jaminan ditambah sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin.
Sebelum ini, tertuduh dijamin RM250,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut membenarkan permohonan pendakwaan untuk melucuthakkan 119 harta termasuk gelang tangan, cincin, jam tangan dan wang tunai kepada Kerajaan mengikut Seksyen 40(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Pada 31 Mac 2016, Otman didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan nilai RM38.4 juta di Pejabat Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil di sini antara 28 Februari 2012 hingga 18 November 2015.
Bagi 17 kesalahan membabitkan tuntutan palsu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18(a) SPRM 2009, manakala 15 lagi pertuduhan salah guna kedudukan dibuat mengikut Seksyen 23(1) akta sama.
Pada 21 April 2016, Otman didakwa atas 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad melalui cek antara 7 Mac 2012 sehingga 11 Disember 2015.
Kesalahan didakwa dilakukan di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya; Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) dan (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta, boleh juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.