JPJ Cawangan BTS mula operasi, tawar perkhidmatan hingga 10 malam

Iklan
Anthony Loke beramah mesra dengan orang ramai di pejabat baharu JPJ Cawangan Bandar Tasik Selatan pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Bandar Tasik Selatan (BTS) mula beroperasi sepenuhnya pada Isnin dengan menawarkan waktu perkhidmatan 8.30 pagi sehingga jam 10 malam dan beroperasi setiap hari.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembukaan pejabat baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, mudah diakses dan berorientasikan pelanggan.

Iklan
Iklan

"Pejabat yang terletak di Tingkat 3, Terminal Bersepadu Selatan (TBS) itu dibangunkan menerusi model operasi metropolitan pertama diperkenalkan JPJ di Kuala Lumpur.

"Pendekatan ini memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat untuk berurusan mengikut kesesuaian masa mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis pembukaan pejabat baharu JPJ Cawangan Bandar Tasik Selatan di sini pada Isnin.

Iklan

Hadir sama, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.

Anthony Loke berkata, pejabat baharu berkeluasan lebih 14,000 kaki persegi itu menggantikan pejabat JPJ Bandar Sri Permaisuri yang beroperasi sejak tahun 2006.

Iklan

"Pejabat sedia ada di Bandar Sri Permaisuri berdepan kekangan ruang dan kemudahan yang terhad susulan peningkatan jumlah pelanggan sehingga mencecah kira-kira 1,300 orang sehari.

Menurut beliau, kerja pemindahan ke premis baharu bermula pada 8 Jun lalu sebelum ruang pejabat diserahkan kepada JPJ sehari kemudian dan mula beroperasi sepenuhnya pada Isnin.

"Pematuhan terhadap jadual pelaksanaan itu membuktikan kecekapan tadbir urus serta kerjasama erat semua pihak yang terlibat.

"Kakitangan JPJ akan bekerja menerusi sistem syif di pejabat baharu ini," katanya.

Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, cawangan baharu berkenaan turut mengintegrasikan pelbagai kemudahan digital termasuk kiosk layan diri, aplikasi MyJPJ dan penggunaan MyDigital ID.

"Pendigitalan bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan. Matlamat kerajaan adalah untuk mengurangkan kebergantungan kepada urusan fizikal di kaunter, mempercepatkan transaksi serta meningkatkan tahap keselamatan dan integriti sistem penyampaian kerajaan.

"Dalam masa sama, kerajaan akan terus memastikan tiada golongan yang tercicir melalui penyediaan bantuan dan khidmat sokongan kepada pelanggan yang memerlukan," katanya.

Beliau turut menyifatkan kerjasama strategik antara JPJ dan TMAS Sdn Bhd sebagai contoh sinergi antara sektor awam dan swasta dalam menyediakan perkhidmatan kerajaan di lokasi yang lebih strategik dan mudah diakses.

"Pendekatan itu akan terus diperluaskan menerusi 10 the inovasi baharu bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan sentiasa selangkah ke hadapan," katanya.