IPOH - Polis Perak menumpaskan satu sindiket yang dipercayai membekalkan telefon bimbit dan kad sim kepada sindiket penipuan dalam talian menerusi serbuan di sebuah kondominium di Bandar Baru Medan Ipoh di sini pada 19 Jun lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak pada jam 1.20 tengah hari itu berjaya menahan tiga individu terdiri daripada seorang wanita tempatan dan dua warga China.
Menurutnya, kesemua suspek berusia antara 27 hingga 58 tahun dan dipercayai terlibat dalam aktiviti membekalkan peralatan komunikasi kepada sindiket penipuan atas talian.
“Hasil serbuan, polis merampas 1,335 keping kad sim pelbagai syarikat telekomunikasi, 554 kad berwarna putih mengandungi mikrocip, 409 unit telefon bimbit, tiga komputer riba, lima peranti sim box, dua unit CPU, dua set monitor, sebuah router dan sebuah kenderaan jenis Jeep.
Mohd Alwi berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif sejak awal tahun ini dan mengenakan bayaran antara RM300 hingga RM500 bagi setiap unit telefon bimbit bersama kad sim yang dibekalkan kepada sindiket penipuan.
Menurutnya, wanita tempatan yang ditahan direman sehari bagi membantu siasatan manakala dua warga China direman selama 14 hari mengikut Akta Imigresen.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120 (b) Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga 10 tahun, dikenakan sebatan dan denda,” katanya.
Mohd Alwi berkata, sindiket penipuan atas talian sentiasa menggunakan pelbagai kaedah dan rangkaian bagi mengaburi pihak berkuasa, namun polis akan terus mengambil tindakan proaktif bagi membanteras kegiatan tersebut.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam membantu sindiket sama ada melalui penyewaan premis atau pembekalan peralatan komunikasi.