PUTRAJAYA – Persatuan Penganut Sri Uchimalai Muniswaraman didakwa gagal memberikan arahan kepada peguamnya dalam prosiding rayuan di Mahkamah Rayuan pada Khamis lalu, membabitkan pertikaian tanah milik Yayasan Kubra.
Peguam mewakili Yayasan Kubra, Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, persatuan berkenaan sebelum ini telah memfailkan rayuan bagi mempertahankan asas aduan pecah aman berkaitan kewujudan struktur yang didakwa dibina di atas tanah milik yayasan itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihak berkenaan tidak hadir pada masa yang ditetapkan ketika sebutan kes, selain tidak memberikan sebarang makluman kepada mahkamah.
“Walaupun sehingga prosiding selesai, mahkamah dimaklumkan oleh peguam mereka sendiri bahawa tiada arahan diterima daripada anak guam iaitu persatuan terbabit sama ada mahu meneruskan rayuan atau menarik balik permohonan.
"Ia termasuk berhubung kedudukan peguam yang mewakili persatuan selaku perayu.
“Jika mereka begitu yakin dengan rayuan yang difailkan, mengapa mereka menghilang sehingga tidak dapat memberikan arahan kepada peguam sendiri?” soalnya.
Muhammad Hariz berkata, pihak Yayasan Kubra hadir tepat pada waktunya dan telah memfailkan Notis Usul bagi membatalkan rayuan berkenaan.
Katanya, Mahkamah Rayuan kemudiannya menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 6 Julai depan.
Beliau menegaskan bahawa pertikaian itu bukan melibatkan isu kaum atau agama, sebaliknya berkaitan hak milik tanah serta kepatuhan kepada undang-undang.
“Tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang. Yayasan Kubra kekal dengan prinsip tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan tanah miliknya.
“Kami memohon doa rakyat Malaysia agar tanah amanah ini terus terpelihara dan keadilan dapat ditegakkan,” katanya.
Pada 31 Mac lalu, Yayasan Kubra berjaya dalam permohonan semakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, untuk mengetepikan keputusan awal Mahkamah Majistret Selayang yang meneruskan inkuiri aduan pecah aman bagi binaan struktur rumah anutan tidak sah di atas tanah berkenaan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Suriyati Hasimah Mohd Hashim memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.