TUMPAT - Tindakan seorang lelaki Thailand mengundurkan kereta bagi meloloskan diri daripada pemeriksaan Pasukan Gerakan Am (PGA) gagal selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum dia ditahan bersama sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian.
Lebih mencurigakan, pemeriksaan ke atas kumpulan itu menemukan 22 telefon bimbit dan sebuah komputer riba yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti scammer.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 6.30 pagi Isnin di Jalan Kampung Kubang Bemban, Pengkalan Kubor di sini menerusi Op Taring Wawasan.
Menurut beliau, anggota Strike Force Kompeni C Batalion 8 PGA yang menjalankan rondaan mengesan sebuah Honda Accord berwarna putih dalam keadaan mencurigakan di kawasan jalan parit air kampung berkenaan.
"Sebaik menyedari kehadiran pasukan PGA, pemandu kenderaan itu bertindak mengundurkan kereta untuk melarikan diri sebelum terbabas ke dalam semak berhampiran.
"Suspek enggan keluar dan mengunci pintu dari dalam menyebabkan anggota terpaksa memecahkan cermin sebelah kanan kenderaan sebelum berlaku sedikit pergelutan ketika tangkapan dibuat," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Ujar beliau, pemandu berusia 25 tahun itu merupakan warga Thailand dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut dalam kereta berkenaan menemukan tujuh lelaki serta dua wanita warga asing terdiri daripada warga China dan Myanmar.
"Hanya seorang daripada mereka mengemukakan pasport China namun tanpa cop kemasukan yang sah, manakala yang lain gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan.
"Mereka dipercayai memasuki negara ini melalui laluan tidak sah," katanya.
Ahmad Radzi memberitahu, siasatan awal turut mendapati pemandu terbabit mengaku terlibat dalam kegiatan membawa migran sejak Januari lalu.
"Suspek mendakwa menerima upah RM150 bagi setiap migran yang dibawa dari kawasan Sungai Golok ke Stesen Bas Kota Bharu.
"Dia juga mengaku memperoleh kereta yang digunakan itu daripada seorang individu tidak dikenali di Kota Bharu pada harga RM9,000," katanya.
Menurut beliau, pihaknya turut merampas sembilan telefon bimbit pelbagai model dan sebuah komputer riba daripada salah seorang warga asing yang ditahan.
"Jumlah telefon yang banyak serta peralatan elektronik dirampas menimbulkan syak bahawa kumpulan ini mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan dalam talian.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang terlibat," katanya.
Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya, dalam operasi itu pihaknya turut merampas sebuah Honda Accord, 22 telefon bimbit, sebuah komputer riba, sebuah beg komputer riba, pasport China dan kad pengenalan Thailand dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM77,100.