Air RM1 jadi rezeki Ramadan

Iklan
Syed Akir (dua dari kanan) dan anak serta cucunya sedang melayan pelanggan yang datang ke gerainya.

GEORGE TOWN - Dalam hiruk-pikuk Bazar Ramadan Flat Kampung Melayu, seorang lelaki warga emas terus setia berdiri di belakang meja jualannya yang menawarkan pelbagai jenis minuman kepada pelanggan sejak lebih 40 tahun lalu.

Syed Akir Syed Ahmad, 73, masih ligat membancuh air dengan harga yang sukar dipercayai iaitu serendah RM1 segelas atau sebungkus demi memastikan pelanggan terus datang tanpa rasa terbeban.

Iklan
Iklan

Bagi Syed Akir, berniaga bukan sekadar mencari rezeki tetapi meneruskan legasi keluarga yang bermula sejak 1976.

Memulakan cerita, Syed Akir berkata, bapanya terlebih dahulu menjual minuman di kawasan sama sebelum dia mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pegawai kewangan di sebuah bank pada tahun 1980 untuk membantu keluarga sepenuh masa.

Iklan

"Ayah saya berniaga minuman untuk menyara keluarga, begitu juga saya. Saya membesarkan anak-anak dengan hasil jual air minuman ini," katanya kepada Sinar Harian.

Syed Akir menunjukkan menu minuman beserta harga di gerainya, SS Tarbuih.

Iklan

Menurutnya, hasil perniagaan itulah dia dan isterinya berjaya membesarkan empat anak iaitu Sharifah Sueinan, 46; Sharifah Sheezan, 44; Syed Ariezam, 42, yang kini bertugas di Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Sharifah Shazrin, 36, juga berkhidmat di MBPP.

Kata Syed Akir, gerainya yang dinamakan sebagai SS Tarbuih membawa makna tersendiri.

Menurutnya, nama tersebut adalah gabungan namanya dan isteri, Suria Samad, 72, yang setia membantu sejak awal perniagaan, manakala ‘Tarbuih’ pula diambil sempena kumpulan boria yang pernah disertainya ketika muda sehingga kini.

Tambahnya lagi, menu minuman yang dijual tidak banyak berubah sejak dahulu.

"Antara yang menjadi kegemaran pelanggan saya ialah ABC, lai chee kang, cendol serta pelbagai air minuman seperti teh o ais, teh ais, sirap, oren, laici, cincau, mata kucing, anggur dan jagung," ujarnya.

Bercerita lanjut, Syed Akir berkata, keistimewaan gerainya terletak pada cara penyediaan minuman.

Syed Akir (kiri) suka bergurau dengan pelanggan yang datang ke gerainya.

"Saya tak guna air untuk membancuh minuman. Minuman dibancuh menggunakan pati kordial bersama gula dan ais tanpa dicampur air kosong.

"Pelanggan hanya perlu menambah air sendiri mengikut citarasa ketika hendak minum. Kalau kita letak air awal-awal, hilang rasa manis minuman itu,” jelasnya.

Katanya, dia tidak pernah menaikkan harga minuman sejak berbelas tahun lalu dan harga setiap minuman akan diturunkan sebanyak RM1 pada bulan Ramadan.

"Pada bulan Ramadan, kebanyakan air dijual pada harga RM1, manakala ABC, cendol dan lai chee kang dijual RM3. Di luar bulan Ramadan, harga air biasa RM2, manakala ABC dan lai chee kang RM4," kongsinya.