NIBONG TEBAL- Lapan penghuni sebuah rumah di Jalan Lima Kongsi, Kampung Lima Kongsi di sini berdepan detik cemas apabila kediaman mereka musnah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran awal pagi Isnin.
Mereka yang terdiri daripada empat lelaki dan empat wanita bagaimanapun terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.17 pagi itu, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separa kekal (kelas B).
Menurutnya, JBPM menerima panggilan kecemasan pada jam 4.17 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai.
"Jentera pertama tiba di tempat kejadian pada jam 4.24 pagi dan mendapati api sedang marak membakar rumah separa kekal berkeluasan kira-kira 80 x 10 kaki persegi itu.
"Operasi turut menerima bantuan daripada BBP Batu Kawan serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Valdor yang tiba pada jam 4.44 pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, komander operasi melakukan ‘size up’ dengan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap sebelum mengaplikasikan konsep RECEO dalam operasi pemadaman.
"Kita melaksanakan kaedah pemadaman secara ‘defensive’ dan ‘offensive’ selain membuat ‘fire break’ bagi mengekang kemerebakan api ke struktur berhampiran.
"Kebakaran akhirnua berjaya dikawal pada jam 4.54 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 5.26 pagi," ujarnya lagi.
Tambah beliau, kerja-kerja ‘overhaul’ kemudiannya dijalankan bagi memastikan tiada lagi sisa bara atau punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.
"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.56 pagi selepas keadaan disahkan selamat.
"Selain rumah, kebakaran turut melibatkan lima kenderaan yang berada di kawasan berkenaan iaitu sebuah kereta jenis Perodua Kancil (musnah kira-kira 70 peratus) manakala sebuah van yang model dan nombor pendaftarannya tidak dapat dikenal pasti terbakar 80 peratus.
"Tiga motosikal iaitu jenis Demak, Modenas Kriss serta Honda EX5 masing-masing mengalami kemusnahan kira-kira 90 peratus," katanya.
Jelasnya lagi, kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran JBPM bagi mengenal pasti punca kejadian dan anggaran kerugian sebenar.
"Pusat Sehenti Pasca Insiden turut memberi khidmat nasihat, mengambil maklumat pemilik rumah serta membantu dan menjadi pemudah cara mengikut keperluan semasa mangsa.
"Operasi berkenaan melibatkan seramai 19 anggota termasuk seorang penyelia dengan kekuatan logistik serta mendapat bantuan agensi luar iaitu polis," tambahnya.