ALOR SETAR – Fenomena bunga tecoma yang kembali mekar setiap tahun di bandar raya Alor Setar bukan sahaja menceriakan pemandangan, malah menjadi terapi semula jadi kepada penduduk yang melalui deretan pokok berwarna merah jambu, putih, ungu dan kuning.
Digelar sebagai Sakura Kedah, pokok tecoma (Tabebuia rosea) menarik perhatian orang ramai terutama di pusat bandar, termasuk sepanjang Jalan Kuala Kedah, apabila laluan itu dipenuhi bunga yang berguguran dan menyerupai sakura di Jepun.
Seorang kakitangan awam, Noorhidayah Anuar, 47, berkata fenomena tahunan itu memberi kesan positif kepada emosi dan minda.
“Cantik bila berguguran, memang macam di Jepun. Saya tunggu setiap tahun. Rumah ke pejabat hanya tiga kilometer, kiri kanan penuh pokok tecoma. Hilang tekanan tengok bunga kembang lebat,” katanya.
Perkara itu diakui oleh seorang peniaga dari Jitra, Mohd Shamsul Othman, 35, yang melihat usaha Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menanam pokok tersebut berjaya mencantikkan lagi kawasan dan kini menjadi tumpuan.
Menurutnya, setiap kali datang ke Alor Setar pada musim bunga tecoma, dia tidak akan melepaskan peluang untuk merakam gambar kenangan.
Sementara itu, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya, berkata MBAS telah menanam sebanyak 1,842 pokok tecoma di sekitar bandar sejak 26 tahun lalu sebagai pokok teduhan dan landskap hijau.
Jelasnya, antara spesies yang ditanam termasuk Tabebuia pallida (putih), Tabebuia rosea (merah jambu), Tabebuia pentaphylla (ungu) dan Tabebuia argentea (kuning).
“Pokok tecoma biasanya mula berbunga pada penghujung musim kemarau sebagai petanda musim hujan bakal tiba. Ketahanan bunga bergantung pada cuaca, namun ia mekar penuh ketika cuaca panas,” katanya.
Beliau menambah, MBAS merancang untuk menjadikan tecoma sebagai tarikan landskap utama melalui Projek Urban Forest 1 dan 2, yang bertujuan mewujudkan landskap ikonik selain kawasan rekreasi dan interaksi komuniti.
Menurutnya, inisiatif ini selaras dengan komitmen MBAS untuk memperbanyak kawasan hijau bandar dan menyokong kelestarian alam sekitar.