GEORGE TOWN – [DIKEMAS KINI] Tindakan seorang mahasiswa yang didakwa menghina agama Islam dan memijak kitab suci al-Quran merupakan perbuatan biadab serta provokatif yang boleh menggugat keharmonian negara.
Perkara itu ditegaskan Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias yang memandang serius insiden tersebut dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan berkenaan.
Menurutnya, perbuatan itu merupakan satu penghinaan melampau terhadap kesucian agama Islam dan tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan.
"Tindakan sedemikian bukan sahaja mencerminkan kegagalan memahami batas kebebasan bersuara malah berpotensi menggugat kestabilan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
“Malaysia dibina atas asas saling hormat-menghormati. Sebarang perbuatan yang menghina mana-mana agama adalah satu bentuk ekstremisme yang mesti ditolak sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mohd Hilmi berkata, pihaknya mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, segera dan tanpa kompromi selaras dengan undang-undang sedia ada terhadap individu terlibat.
“Tiadanya ruang toleransi terhadap mana-mana individu yang cuba mencetuskan ketegangan agama atau mengancam ketenteraman awam melalui tindakan provokatif dan tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Hilmi turut menyarankan agar dialog antara wakil-wakil agama diperkasa bagi meredakan ketegangan serta mengelakkan insiden sama daripada berulang.
Tegasnya, keamanan dan keharmonian negara merupakan tanggungjawab bersama manakala sebarang cubaan mencetuskan kebencian, menghina agama atau merosakkan perpaduan nasional perlu ditentang secara tegas.
“Pemuda UMNO Pulau Pinang akan terus berdiri teguh mempertahankan kesucian agama Islam, kedaulatan undang-undang serta keamanan negara,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan seorang penuntut sebuah universiti tempatan di Kuantan direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, penuntut terbabit ditahan awal pagi susulan laporan polis yang dibuat oleh bapa suspek.