KUALA TERENGGANU – Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menolak saman pemula difailkan empat aktivis haiwan terhadap Majlis Daerah Besut (MDB) dan kerajaan negeri Terengganu berhubung kematian anjing liar dinamakan Kopi, dua tahun lepas.
Peguam, Adam Luqman Amdan yang mewakili MDB memberitahu media bahawa keputusan itu disampaikan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Yusrin Faidz Yusoff menerusi aplikasi dalam talian, Zoom pada Khamis.
Empat aktivis itu ialah Kartini Farah Abd Rahim, 53, S Mukunnan, 47, Hong Hai San, 44, dan S Shashi Kumar selaku plaintif pertama hingga keempat, menyaman dalam kapasiti Pengerusi dan Pegawai Awam Pertubuhan Persatuan Penjagaan Anjing Dan Kucing Liar Selangor.
Adam Luqman berkata, mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati menembak menggunakan senjata api adalah dibenarkan undang-undang mengikut Seksyen 30(2)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (AWA 2015).
Beliau berkata, mahkamah juga bersetuju dengan hujah defendan bahawa relif ini, pada dasarnya akan menentukan liabiliti jenayah melalui prosiding sivil, sekali gus melanggar Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan mengenai pemisahan kuasa dan memintas kuasa pendakwaan Peguam Negara.
Katanya, mahkamah juga memutuskan MDB yang juga defendan pertama melaksanakan tugasnya selaras dengan Undang-Undang Kecil (UUK) Lesen Anjing MDB 1990, manakala kerajaan Terengganu sebagai defendan kedua tidak bertanggungjawab secara vikarius dalam kes berkenaan.
“Mahkamah memutuskan, berdasarkan Seksyen 30 akta itu dengan jelas membenarkan tindakan menembak dengan senjata api.
“Mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan pihak plaintif bahawa tindakan itu hanya dibenarkan jika ada dua pengecualian dalam Seksyen 30(1). Seksyen 30(2) jelas membenarkan pembunuhan dan menembak dengan senjata api untuk semua keadaan untuk kawalan populasi haiwan,” katanya.
Bukan itu sahaja, beliau berkata, empat aktivis terbabit tidak mempunyai hak di sisi undang-undang atau ‘locus standi’ untuk bertindak dalam prosiding tersebut.
“Ini kerana plaintif gagal menunjukkan sifat terjejas kerana mereka bukan penduduk di Besut malah tidak menunjukkan sebarang kepentingan sebenar dalam perkara tersebut.
“Mahkamah bersetuju dengan hujahan pihak MDB bahawa tuntutan plaintif akan menentukan liabiliti jenayah secara berkesan melalui prosiding sivil,” katanya.
MDB turut diwakili peguam, Mohammad Zaid Daud dan Mohd Munzeer Zainul Abidin sementara kerajaan Terengganu diwakili Peguam Persekutuan, Zulfazliah Mahmud.
Keempat-empat aktivis itu diwakili peguam, Harvinpal Kaur.
Pada 10 Disember 2024, semua plaintif memfailkan saman pemula terhadap dua defendan dengan memohon perisytiharan bahawa pembunuhan Kopi telah melanggar Seksyen 29(e) akta itu.
Mereka juga memohon perisytiharan bahawa tindakan menembak anjing liar itu menggunakan senjata api oleh MDB, telah melanggar Seksyen 30(1) serta Seksyen 30(2) AWA.
Katanya, Seksyen 3(1) jelas memperuntukkan bahawa penembakan menggunakan senjata api terhadap mana-mana anjing, kucing atau haiwan lain adalah tidak dibenarkan.
Kontroversi itu tercetus pada 13 Oktober 2024 apabila Yang Dipertua MDB, Mohd Sukeri mempertahankan tindakan pelupusan anjing liar berkenaan sebagai mematuhi prosedur ditetapkan, selain menafikan dakwaan haiwan itu ditinggalkan selepas dibunuh.
Sehari sebelum itu, Sinar Harian melaporkan, Kopi yang tular di media sosial pada Mac tahun sama, selepas videonya bermain dengan anak kucing terbiar di sebuah taman perumahan di Terengganu, ditemui mati dipercayai ditembak.
Akaun Facebook My Forever Doggo (MFD) juga berkongsi video berdurasi 52 saat, memaparkan anjing liar itu mati akibat kecederaan serius.
ARTIKEL BERKAITAN: Tembak mati 'Kopi', empat aktivis haiwan saman MDB, Terengganu