Imigresen gempur bazar Ramadan, 31 warga asing ditahan

Iklan
Zakaria

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur bazar Ramadan di seluruh negara dalam operasi pemeriksaan yang dijalankan antara 19 Februari hingga 25 Februari.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, sepanjang tempoh operasi itu, sebanyak 29 bazar Ramadan diperiksa melibatkan beberapa negeri iaitu Johor, Kedah, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Iklan
Iklan

"Seramai 131 warga asing yang terdiri daripada 65 lelaki, 65 perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki, membabitkan warga Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan Thailand telah diperiksa.

"Hasil pemeriksaan, seramai 31 individu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tiada pas yang sah, tinggal lebih masa serta melanggar syarat pas," katanya.

Iklan

Zakaria berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Semarak Ramadan di Ibu Pejabat JIM, di sini pada Khamis.

Zakaria berkata, Kuala Lumpur merekodkan 12 tangkapan diikuti Putrajaya dengan 11 tangkapan, Johor tujuh tangkapan dan Melaka satu tangkapan, manakala negeri lain tidak merekodkan sebarang tangkapan.

Iklan

"Operasi penguatkuasaan di tapak perniagaan bazar Ramadan merupakan tindakan berterusan bagi memastikan semua warga asing mematuhi peruntukan undang-undang imigresen di negara ini.

"Kita turut menegaskan bahawa pemeriksaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras keberadaan pendatang asing tanpa izin di lokasi tumpuan orang ramai," katanya.