KOTA KINABALU - Suspek kes bunuh seorang wanita yang anggota badannya ditemui di tempat pembuangan sampah di Taman Indah Permai di sini akan dituduh di mahkamah pada Jumaat.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata. tempoh reman terhadap suspek bagi membolehkan siasatan polis telah tamat.
"Tempoh reman sudah tamat. Dalam minggu ini, suspek akan dituduh (esok)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Dalam kejadian 12 Februari lalu, mayat seorang wanita berusia 44 tahun yang dikerat ke beberapa bahagian ditemui oleh pekerja lori sampah yang melakukan kerja pembersihan sekitar kira-kira jam 7 pagi.
Susulan penemuan mayat tersebut, seorang lelaki berusia 71 tahun yang dipercayai tunang mangsa, telah ditahan.
Tiga lagi individu iaitu anak suspek utama yang terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita, turut ditahan untuk membantu siasatan.
Setakat ini, dua lagi anggota badan mangsa, iaitu bahagian kaki kiri dan tangan kanan, masih belum ditemui.